Home Berita PAS Johor

Sensitiviti agama bukan barang mainan

532
SHARE

Oleh : Rusman Kemin

“Islam Agama bagi Persekutuan dan agama lain bebas untuk diamalkan dengan aman”. Ini termaktub dalam Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Negara.

Islam mengajar umatnya untuk menghormati agama lain bahkan jika di dalam peperangan sekalipun Islam melarang serangan terhadap rumah ibadat agama lain dan mereka yang berlindung di dalamnya.

Namun, kebelakangan ini isu penghinaan terhadap Agama Islam semakin menjadi-jadi. Kes yang terkini terlaku di Sungai Way, Selangor antara seorang lelaki penganut kristian dengan penghantar makanan Food Panda.

Keamanan dan keharmonian negara mesti terus dijaga dan dipelihara dengan setiap pihak saling menghormati budaya kaum dan agama dalam negara ini.

PAS Johor menyarankan pihak berkuasa supaya perkara ini mesti dipandang serius dan mengharapkan tindakan tegas diambil bagi memastikan isu penghinaan agama ini dapat dibendung.

Di sini kami memberikan beberapa cadangan yang wajar untuk dilaksanakan :

1. Perlembagaan Negara dijadikan subjek dalam pendidikan sekolah rendah dan menengah.

2. Perkara-perkara penting dalam Perlembagaan Negara dijadikan dokumentari yang sering diulangsiar di radio dan television milik kerajaan juga dalam bentuk billboard yang dipaparkan di simpang-simpang jalan.

3. Menganjurkan lebih banyak program-program terbuka seperti forum dan wacana yang memahamkan kandungan Perlembagaan Negara.

4. Mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan isu-isu sensitif seperti ini.

Penulis merupakan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ)