ALOR SETAR, 10 Jun : Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menggerakkan unit klinik bergerak vaksinasi Covid-19 di kawasan pedalaman daerah Padang Terap.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya menggunakan sepenuhnya aset unit klinik bergerak bagi membantu Jabatan Kesihatan Kedah mencapai sasaran Program Imunisasi Kebangsaan dengan tumpuan di kawasan pedalaman yang sukar untuk penduduk mendapat suntikan vaksin.
Katanya, dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap, mobile bergerak LZNK dapat membantu menvaksin penduduk di kawasan terpencil.
” Lebih 50 warga emas, OKU dan orang kampung di kawasan Kampung Perik, Kuala Nerang berjaya divaksinkan,” katanya.
Zakaria berkata, kemudahan yang disediakan dalam klinik bergerak ialah mini lif untuk pesakit berkerusi roda, katil perubatan untuk pembedahan kecil sekiranya perlu, peti sejuk dan gas untuk bantuan pernafasan kecemasan.
Katanya, lokasi kedua ialah pada 28 Jun ini di Masjid Tandop Besar, Mukim Tekai Kanan.