Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
KOTA BHARU, 27 Mei: Allahyarham Haji Abdul Rahim bin Haji Ahmad merupakan qari al-Quran dari Kelantan yang sebelum ini pernah mengharumkan nama Malaysia dan negeri Cik Siti Wan Kembang ke peringkat antarabangsa apabila dinobatkan sebagai johan dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa mewakili Malaysia.
Allahyarham dilahirkan pada 31 Disember 1951 di Sungai Petani, Kedah dan dibesarkan di Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa dan pernah mendapat pendidikan awal di Pondok Meranti, Pasir Mas.
Bapanya bernama Haji Ahmad bin Haji Ibrahim manakala ibunya bernama Zawariyah binti Yusof.
Allahyarham meninggal pada usia 70 tahun di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada 15 Mei 2021 baru baru ini dengan meninggalkan seorang isteri, Faridah binti Shafie, 57, dengan tujuh orang anak, lima perempuan dan dua lelaki.
Menurut salah seorang anaknya, Abdul Fattah Abdul Rahim, 26, Allahyarham pernah berguru dengan Haji Ahmad Syukri Haji Soleh pada usia pertengahan belasan tahun.
Kemudian selama 12 tahun ketika berusia 27 tahun, dari tahun 1975 hingga 1987, Allahyarham berguru dengan Haji Ahmad Maasom (Haji Mat Pergau) di Pasir Mas.
Bimbingan yang diperolehi Allahyarham dengan Haji Ahmad Maasom menjadi tapak asas kepada beliau mengenali dan seterusnya menguasai ilmu tarannum sehingga bergelar johan peringkat antarabangsa.
Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai bilal di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.
Pada tahun 2010, Allahyarham mengambil pendekatan menamatkan tugas sebagai bilal untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam dunia tilawah al-Quran melatih dan mendidik qari dan qariah sama ada di peringkat Ibtida’i rendah mahupun Aliy tinggi.
Setelah 15 tahun mendalami ilmu seni tarannum al-Quran, Allahyarham membabitkan diri secara serius dengan menyertai musabaqah tilawah al-Quran.
Allahyarham muncul sebagai johan sebanyak tiga kali berturut-turut dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, iaitu pada tahun 1993, 1994 dan 1995.
Allahyarham pertama kali memasuki Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun 1993 dan mendapat tempat ketiga. Allahyarham johan sebanyak dua kali berturut-turut dalam tilawah antarabangsa tahun 1994 dan 1995.
Khidmat Allahyarham dalam bidang pengajian al-Quran tidak mengira tempat dan masa. Allahyarham pernah menjadi fasilitator kursus bacaan al-Quran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan pernah mengajar di Masjid Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Masjid Kemumin, Pengkalan Chepa, Masjid Kampung Raja, Besut, Masjid Asy-Syakirin KLCC, Kuala Lumpur selain memenuhi undangan sebagai hakim dalam pertandingan tilawah al-Quran.
Atas sumbangan dan khidmat bakti, Allahyarham telah dianugerah Pingat Bakti (PB) oleh Almarhum KDYMM Sultan Ismail Petra tahun 1995 dan pada tahun yang sama dianugerah pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-10 Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman tahun 1995.
Antara pengiktirafan yang pernah Allahyarham perolehi ialah diberi kepercayaan sebagai hakim dalam pertandingan hafazan dan tarannum peringkat kebangsaan di Negara Maldives tahun 2011.
Beliau juga dijemput oleh Kerajaan Thailand sebagai hakim tilawah al-Quran, pembimbing peserta dan panel kursus tahsin serta pernah diundang oleh kerajaan Maghribi, Pakistan, Brunei, Singapura dan Iran sebagai qari jemputan dan dilantik sebagai karyawan tamu UKM pada tahun 2010.