Oleh : NorJuliana Yaacob
JERAI – Bagi meningkatkan kadar kesedaran masyarakat berhubung keperluan penerimaan vaksin Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerai mengambil inisiatif menubuhkan satu kumpulan sukarelawan khas.
Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri Azit berkata, satu organisasi khas berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Parlimen Jerai telah ditubuhkan.
“Seramai 16 sukarelawan telah dilantik secara sah bagi membantu gerak kerja ini,” katanya.
Menurut Sabri, pihaknya turut menempatkan dua staf pusat khidmat di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Yan bagi membantu kerja-kerja pendaftaran imunisasi di sana.
Selain itu, pihak pusat khidmat juga turut berusaha mendapatkan nama komuniti dalam Parlimen Jerai dan membantu mereka untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.
Sabri berkata, diharapkan dengan kewujudan PICK ini dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai akan kepentingan untuk menerima vaksin.