Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Kemangkatan Sultan Ali, Perak

1133
SHARE

26 Mei 1871 (JUMAAT)

PADA hari ini dalam tahun 1871, baginda Sultan Ali, Perak telah mangkat. Seisi negeri telah berkabung 100 hari tanda dukacita di atas kemangkatan baginda.

Menurut adat istiadat Negeri Perak, Sultan yang mangkat itu tidak boleh dimakamkan selagi penggantinya belum dilantik. Istiadat inilah yang menjadi punca kelewatan pemakaman Baginda Sultan Ali.

Istiadat pemakaman telah ditangguhkan selama 32 hari kerana menunggu ketibaan Raja Muda Abdullah dari Hilir Perak. Baginda adalah raja yang paling berhak menggantikan Sultan.

Raja Muda Abdullah enggan hadir menziarahi jenazah Sultan Ali atas dua sebab:

1) Baginda tidak mahu melalui kawasan Senggeng tempat Raja Yusof iaitu musuh baginda, untuk sampai ke Sayong.

2) Baginda memang tidak disukai oleh rakyat di Utara Perak.

Oleh kerana pemakaman Sultan Ali tidak dapat ditangguhkan lagi, pembesar-pembesar Negeri dengan nasihat Ngah Ibrahim, Menteri Larut telah mengambil keputusan melantik Bendahara Ismail sebagai pengganti Sultan.

Pelantikan Bendahara Ismail yang lemah itu sengaja dirancang oleh Ngah Ibrahim bagi memudahkan beliau menguasai Kerajaan Perak kelak. Sebagai pembesar yang terkaya di Perak, memang mudah sekali bagi beliau memperngaruhi rakyat Negeri Perak.

Tindakan dan rancangan Ngah Ibrahim itu amat dimurkai oleh Raja Abdullah. Untuk membalas perbuatan itu baginda telah membantu kumpulan Kongsi Gelap Ghee Hin menentang Hai San yang disokong oleh Ngah Ibrahim dalam peperangan di Larut.

Pertelingkahan yang mencetuskan Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. (Kredit foto : Google)

Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Harry Ord cuba mengatasi masalah peperangan ini secara rundingan tetapi gagal. Walau bagaimanapun masalah kuasa ini dapat diselesaikan oleh Gabenor Sir Andrew Clark pengganti Sir Harry Ord dengan menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.

Dalam perjanjian ini Raja Muda Abdullah telah diktiraf sebagai Sultan yang sah manakala Sultan Ismail diberikan sebuah wilayah yang kecil dan dibayar wang pencen sebanyak 1,000 ringgit setiap bulan.

Di samping itu mengikut perjanjian ini seorang Residen akan dilantik bagi menasihatkan Sultan dalam segala hal pentadbiran negeri kecuali mengenai soal agama Islam dan adat resam.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .