Home Kenyataan Media PAS Pulau Pinang

Kenaikan tarif air buat masa ini, tidak wajar

348
SHARE

Kenaikan Tarif Air Buat Masa Ini Adalah Tidak Wajar

Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), Ir Jaseni Maidinsa, Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang melihat PBA seolah bersikap mementingkan diri dan tidak wajar ketika rakyat masih tertekan dengan kesan wabak Covid-19 ketika ini.

Lajnah Tanah Dan Peneroka Bandar PAS Pulau Pinang merasakan anggaran cadangan kenaikan sehingga 600% ke atas tarif air adalah keterlaluan dan tidak munasabah memandangkan negeri Pulau Pinang masih menikmati bekalan air secara ehsan dari Sungai Muda yang sepatutnya dibayar kos penyelenggarannya kepada kerajaan negeri Kedah.

Seharusnya PBAPP dan kerajaan negeri lebih memberi tumpuan untuk menyelamatkan sungai-sungai yang sepatutnya berpotensi menjadi sumber air mentah negeri ini dalam proses mengurangkan kebergantungan air mentah dari Sungai Muda yang memerlukan pembiayaan yang mesti dibayar setiap tahun.

Justeru itu kami menyarankan agar PBAPP bersama kerajaan negeri Pulau Pinang berusaha untuk memulihara kembali sungai-sungai di negeri ini yang rata-ratanya berada pada tahap 4 dan 5 seperti Sungai Kereh dan Sungai Prai demi masa depan generasi penduduk yang akan datang di negeri ini bersesuaian dengan cogan kata kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu “Cleaner Greener Penang”.

Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang berharap agar pihak Kementerian Alam Sekitar menerusi Jabatan Alam Sekitar dapat memainkan peranan dengan lebih tegas dan proaktif menangani isu membabitkan sungai-sungai di negeri ini demi kelestarian penduduk di masa hadapan.

Sekali lagi pihak kami menegaskan bahawa tiada kewajaran untuk kenaikan tarif air pada waktu rakyat berhadapan dengan darurat Covid ini.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

Yacoob Bin Omar
Pengerusi
Lajnah Tanah Dan Peneroka Bandar Negeri
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
26 Mei 2021