Sedar tidak sedar sudah dua (2) tahun kita berperang dengan COVID-19, pelbagai perintah kawalan pergerakan telah dikuatkuasakan kita lalui dan pelbagai jenis SOP yang telah ditetapkan kita ikuti namun sejak beberapa hari ini kes makin meningkat di seluruh negeri.
Di Kelantan setiap hari 400+ kes positif dicatatkan dengan beberapa tempat terpaksa dilaksanakan PKPD. Dahulu kematian 2 atau 3 orang sehari di Malaysia kita mulai merasa bimbang namun hari ini kes kematian mulai mencecah 40+ dan kes positif 6000+ setiap hari.
Keadaan COVID-19 ini adalah hal yang betul-betul berlaku dan hari ini jangkitan kes COVID-19 ini sedang berlaku melalui bermacam-macam kluster. Strain COVID-19 di Malaysia yang bermula daripada Strain Wuhan, China dan bulan lepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menemui dua kes pertama individu yang dijangkiti daripada Varian Nigeria SARS-CoV-2, yang juga dikenali sebagai B1.525. Kes hari ini lebih bahaya kerana tidak menunjukkan simptom luaran seperti batuk, selsema dan demam namun secara senyap ianya menyerang dan melumpuhkan sistem imuniti sehinggakan boleh membawa maut.
Kapisiti hospital kini telah kritikal. ICU dipenuhi dengan pesakit COVID-19, PKRC setiap hari makin banyak dibuka, keadaan staf hospital makin meruncing, dan kawasan PKPD juga turut bertambah. Saya amat risau jika dalam keadaan seminggu kes berurutan setiap hari dengan angka 6000+ kes di Malaysia dan kes di Kelantan 400+ dimana lagi pesakit-pesakit ini harus ditempatkan.
Di Kelantan sehingga kini masih ramai acuh tak acuh mematuhi SOP. Tidak memakai mask, keluar rumah tanpa tujuan, berborak lama, berderak, bergelewak di tempat-tempat tidak penting, bawa anak kecil, orang tua uzur keluar rumah dan sebagainya.
Mulai hari ini lakukanlah kuarantin kendiri (self-quarantine) ataupun disiplin kendiri (self-discipline). Hadkan pergerakan ke luar rumah, keluar hanya perlu dan rancang masa keluar. Jangan sesekali membiarkan penguatkuasa mendisiplinkan kita alangkah baiknya jika kita sendiri mendisiplinkan diri.
Akhir sekali, kes COVID-19 ini boleh hilang dengan izin Allah dan juga dengan jihad kita yang bersungguh-sungguh. Jika hari ini kita bersemangat berjihad bersama Palestin marilah kita bersemangat juga berjihad mematuhi SOP yang ditetapkan kerana kita disini bertaruh nyawa juga dalam melawan COVID-19 ini. Kematian syuhada’ disana akibat peperangan sejak minggu lepas hampir dengan jumlah kematian kes COVID-19 kita di Malaysia. Keadaan berbeza namun jumlah kematian hampir sama dalam kita tidak sedar.
Jadikanlah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Fatwa Kebangsaan, Majlis Keselamatan Negara sebagai rujukan dalam berdepan kes hari ini. Janganlah kita suka mendengar dan menyebarkan berita-berita palsu di media massa terutama isu vaksin. Vaksin yang digunakan di Malaysia telah diakui oleh Pakar Biologi dan Pakar Imuniologi.
Ini adalah salah satu ikhtiar kita dalam mengekang kes terus menular dalam komuniti. Saya amat percaya jika peranan setiap individu dan rakyat di Malaysia ini amat penting dalam usaha-usaha mencegah COVID-19 ini. Lakukan hak anda dengan mematuhi SOP, kita mampu bersama melawan COVID-19 !
فَاسْـَٔلُوْٓا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَۙ
“…. maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui (An-Nahlu ayat 43)