Home Kenyataan Media PAS Melaka

Perutusan Aidilfitri YDP PAS Kawasan Masjid Tanah

195
SHARE

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar walillahilhamd!

ALHAMDULILLAH. Hari ini sekali lagi kita menyambut hari Raya Aidilfitri di dalam hidup kita semenjak kita dilahirkan. Dan ini kali kedua kita terpaksa berhari raya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.

Saya percaya buat seluruh rakyat Malaysia kita tidak pernah melalui situasi di mana pergerakan kita dihadkan seperti ini kecuali semasa darurat melawan Parti Komunis Malaya (PKM) pada awal kemerdekaan negara kita dahulu. Itu pun tidak melibatkan seluruh negara.

Tetapi pada kali ini kita berhadapan dengan ancaman nyawa yang lebih berbahaya daripada gerila PKM. Gerila PKM kita boleh nampak kehadirannya. Tetapi jangkitan virus Covid-19 ini tidak terlihat dek mata kasar. Ia boleh berjangkit di mana-mana, di masjid, di surau, di kompleks membeli-belah, di pasar, di sekolah, di hospital, di mahkamah malah di dalam rumah kita sendiri.

Kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular dengan menguatkuasakan PKP di saat umat Islam berhari raya demi untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia yang dikasihi. Inilah sikap bertanggungjawab kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di saat kita berasa sukar kerana sekatan ini jangan kita lupa kesukaran yang jauh lebih besar dirasakan oleh saudara-saudara kita di Palestin. Mereka sedang berhari raya dengan air mata dan darah beserta meriahnya bunyi bom dan tembakan senjata api.

Seiring dengan saranan pucuk pimpinan PAS, saya dengan ini turut sama menyeru agar kita sama-sama membacakan Qunut Nazilah sebagai doa dan pergantungan kita kepada Allah untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin. Walau pun itu sahaja yang mampu kita lakukan setakat ini.

Saya juga mewakili seluruh pimpinan PAS Kawasan Masjid Tanah, pimpinan semua Jentera Pilihan Raya Dun PAS (JPrD) dan seluruh pimpinan PAS di peringkat cawangan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Akhir kata marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah menerima segala amalan dan ibadah yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini.

“Taqabballallahu minna wa minkum”

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1442H/2021M
MAAF ZAHIR DAN BATIN

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah.
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .