Home Kenyataan Media PAS Pulau Pinang

Patuhi SOP

146
SHARE

Menjunjung Kasih Seruan Yang Dipertuan Agong untuk Patuhi SOP

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pulau Pinang menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah agar rakyat kekal fokus mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

PAS Pulau Pinang komited mengajak semua rakyat dan kepimpinan negara berganding bahu mengambil tanggungjawab bersama dalam usaha melandaikan jangkitan virus ini.

Kami juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya lebih peka dan memahami akan pentingnya peranan SOP dalam menjaga kemaslahatan dan keselamatan nyawa, bukannya untuk menyukar dan menyusahkan kehidupan

Masyarakat seharusnya konsisten mengamalkan norma baharu dalam setiap aktiviti harian terutama yang melibatkan ramai seperti di sekolah, bazaar Ramadhan dan majlis keraiaan agar sentiasa dalam pematuhan SOP.

Pertarungan melawan Covid 19 masih panjang, justeru kami menyeru semua pihak termasuk peniaga, pengusaha dan pengendali, khususnya di sektor ekonomi agar lebih berwaspada serta saling berganding bahu dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sehubungan dengan itu, tindakan penguatkuasaan mesti terus diperketatkan agar pihak yang ingkar menerima pengajaran dan hukuman yang sewajarnya tanpa mengira status.

PAS Pulau Pinang menyeru agar media dan masyarakat menghentikan penularan berita palsu dan bersifat polemik yang hanya akan mengundang salah faham dan kegusaran yang tidak munasabah orang ramai terhadap sesuatu isu.

Teruskan berdoa demi kesejahteraan negara.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

Ir Ahmad Rafaei Bin Dato’ Ir A Rashid
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
3 Mei 2021