Home Berita PAS Pulau Pinang

“Dapur Rakyat” untuk mangsa banjir

40
SHARE

Oleh Umar Al-Khattab

Bukit Mertajam, 6 Mei – Jabatan Amal Negeri Pulau Pinang (JAMNPP) diketuai oleh pengarahnya Baharin Ahmad dan Norazman Ishak selaku Pengerusi Khidmat Malaysia Pulau Pinang turun untuk menyediakan juadah bersahur untuk mangsa banjir di sekitar perkampungan Machang Bubuk.

Program yang dinamakan ‘Dapur Rakyat’ ini disediakan di perkarangan Masjid Jamek Machang Bubuk dengan bantuan ahli kariah dan peralatan memasak disediakan oleh pihak masjid.

Menurut Baharin, JAMNPP mendapat bantuan dana dari Khidmat Malaysia Pulau Pinang dan ahli Jabatan Amal Pulau Pinang menyumbang tenaga menyediakan juadah bersahur untuk mangsa banjir bagi membantu meringankan beban mereka yang dilanda musibah ini.

Slogan kami “Beramal Kerana Allah”, jadi kami turun seawal pagi ketika orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi tanpa mengira ganjaran dan semata-mata mengharapkan redha Allah sebagai bekalan di akhirat kelak.

Bencana banjir kali ini melibatkan lebih kurang 350 mangsa dan 150 buah rumah di sekitar Machang Bubuk dan kerap terjadi apabila hujan turun dengan lebat di kawasan Bukit Mertajam.

Dapur rakyat berakhir pada jam 4.30 pagi selepas makanan selesai diagihkan kepada mangsa banjir.