Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 30 Apr : Terdapat pertambahan satu kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster Kampung Hilir Alor Gajah yang majoritinya berjangkit daripada aktiviti tadarus di sebuah surau.
Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKNM seramai 528 individu telah disaring oleh pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) di mana terdapat 18 kes positif dengan kes indeks kluster ini dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala di Hospital Alor Gajah.
Tambah laporan itu lagi, 17 orang kontak rapat dikesan positif hasil saringan kontak rapat di mana kluster ini telah merebak sehingga ke generasi kedua di dalam komuniti.
Kata laporan itu lagi, selain kluster baharu itu, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Jalan Kenanga, Kluster Teknologi Lot Enam, Kluster Jalan Mata Kuching, Kluster Malim Jaya, Kluster Jalan Gapam, Kluster Pengkalan Batik, Kluster Jalan Pokok Mangga, Kluster Jalan Melaka Raya, Kluster Kota Syahbandar, Kluster Jalan Kesidang dan Kluster Teknologi Ayer Keroh.
Sementara itu JKNM juga melaporkan sebanyak 55 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 51 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, manakala empat kes lagi adalah kes import.
Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 44 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 333 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan sembilan kes adalah daripada kes ICU.
Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 19 mukim berada di zon hijau, 11 mukim berada di zon kuning dan satu mukim dalam kategori zon merah iaitu mukim Kelemak.
Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, lima mukim di dalam zon hijau, 20 mukim lagi di dalam zon kuning, dua mukim dalam zon jingga dan dua mukim lagi dalam zon merah iaitu mukim Bandar Melaka dan mukim Bukit Katil.
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 16 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara lima lagi adalah dalam zon kuning.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3788 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1265 diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 760 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 408,713 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH
. SAMBAL IBU SARI .