“Solat Penawar Penyakit Ummah”
Allah SWT telah menjadikan solat sebagai tiang agama yang wajib dilaksanakan mengikut cara Rasulullah SAW. Setiap muslim wajib mempastikan bahawa seluruh ahli keluarganya solat termasuklah jiran dan masyarakat. Firman Allah SWT:
وَأۡمُرۡ أَهۡلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصۡطَبِرۡ عَلَیۡهَاۖ لَا نَسۡـَٔلُكَ رِزۡقࣰاۖ نَّحۡنُ نَرۡزُقُكَۗ وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلتَّقۡوَىٰ
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki . Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Thoha: 132)
Runtuhnya sesebuah rumah akibat patah atau rosak tiangnya.
Begitulah juga seseorang Islam itu tidak mempunyai nilai Islamnya jika dia tidak mendirikan solat. Apabila solat dijaga, Islam sebagai ibu segala urusan dapat dipertahankan dan jihad akan hidup dalam diri setiap muslim. Sabda Rasulullah SAW:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ
Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad.” (Riwayat Tirmizi)
Persoalan Tarbiah Al-Aulad atau pendidikan anak-anak mesti diberi keutamaan khasnya dalam menjaga solat lima waktu.
Masih kedapatan dalam kalangan keluarga muslim yang tidak pernah solat. Ini sudah pasti akan mengundang gejala mungkar berlaku dengan begitu mudah disebabkan solat sebagai agen efektif dalam mencegah anasir kemungkaran tidak dipedulikan.
Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Kelantan telah menobatkan Program Membina Generasi Solat (MGS) sebagai agenda teras. Melalui MGS termasuklah Sambutan Bulan Solat yang diadakan, ianya membantu melahirkan pekerja berintegriti dan berkualiti, pemerintah yang adil dan saksama, seterusnya menghindari masalah sosial, mengekang jenayah serta tiadanya berlaku sebarang unsur penyelewengan ataupun rasuah.
Begitulah juga kejayaan sesebuah institusi keluarga, ia bergantung kepada keprihatinan ketua keluarga terhadap pelaksanaan solat. Solat menjadi penawar yang mujarab dalam menyelesaikan konflik keluarga serta penyakit dalaman dan luaran manusia. Oleh itu, jika seseorang itu mempunyai permasalahan hendaklah dia dirikan solat kerana disitu terdapatnya jalan penyelesaian. Nabi SAW ada berpesan:
قُمْ فَصَلِّ فَإِنَّ فِي الصَّلَاةِ شِفَاءً
“Bangkitlah dan dirikanlah solat, maka sesungguhnya pada solat itu ada penawarnya”. (Riwayat Imam Ahmad)
Oleh yang demikian, usaha untuk membenteras gejala sosial dan jenayah dalam masyarakat mestilah diberi perhatian supaya berasaskan solat. Kajian dan temubual serta nasihat tentang kepentingan solat mesti diadakan secara kerap bagi mengenalpasti peratusan masyarakat Islam yang menjaga solat. Semua pihak mesti berperanan dengan tidak hanya tertumpu kepada institusi masjid sahaja tetapi diluaskan penghayatannya diseluruh lokasi masyarakat.
Sesungguhnya pengabaian kepada agenda solat ini sudah pasti akan membantut pertumbuhan iman dan takwa dalam sesebuah masyarakat Islam. Keberkatan akan berkurangan dan hubungan menjadi renggang. Hak dalam sesebuah keluarga mungkin terabai apatah lagi hak kejiranan serta tanggungjawab ditempat kerja berkemungkinan tidak dilaksanakan.
USTAZ DATO’ HJ AHMAD BIN YAKOB
16 Ramadhan 1442/28 April 2021
https://www.facebook.com/DatoAhmadYakob
https://twitter.com/datoahmadyakob