Tanggal 15 Ramadan baru-baru ini menyaksikan fenomena Bulan Penuh Perigee atau dikenali sebagai Supermoon. Fenomena bulan berwarna seakan-akan merah jambu ini, menampakkan saiz yang terbesar dan tercerah yang boleh kita lihat dari bumi pada tahun ini.
Antara peristiwa sejarah yang berlaku pada 15 Ramadan menurut al-Barqi dan Ibn Sa’d dalam al-Tabaqāt ialah kelahiran Sayyidina Hasan r.a, cucunda kesayangan Baginda Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini berlaku pada tahun ketiga Hijrah.
Terdapat riwayat daripada Sayyidina Ali r.a. yang menceritakan bahawa beliau pada mulanya telah menamakan putera sulung ini dengan nama Harb (yang bermaksud perang), namun apabila Rasulullah SAW mengetahuinya, Baginda telah menukarkan namanya kepada Hasan. (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim)
Ada juga riwayat yang menyebut bahawa nama asalnya ialah Hamzah sebelum ditukar kepada Hasan. (Riwayat Ahmad)
Setelah kelahiran beliau, Rasulullah SAW telah mengazankan di telinga beliau, seperti yang diceritakan oleh Abu Rāfi’ r.a. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmidhi, kata beliau: Hadis hasan lagi sahih)
Baginda Nabi SAW juga telah memerintahkan Sayyidatina Fatimah r.a. untuk mencukur rambut putera sulung beliau ini, dan bersedekah dengan nilaian perak seberat timbangan rambutnya itu kepada orang-orang miskin atau para sahabat yang tinggal di serambi masjid. (Riwayat Ahmad)
Akikah juga telah dilakukan oleh Baginda Nabi SAW bagi cucu beliau ini, dengan seekor kambing biri-biri. (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)
Sayyidina Hasan r.a. kemudian membesar menjadi seorang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW. Kata Anas bin Malik r.a: “Tiada di kalangan mereka seorang pun yang lebih mirip dengan Nabi SAW daripada Hasan bin Ali”. (Riwayat al-Bukhari)
Kata Sayyidina Ali r.a. pula: “Hasan adalah manusia yang paling mirip dengan Rasulullah SAW antara dada sehingga kepala, dan Husein pula manusia yang paling mirip dengan Rasulullah SAW pada bahagian bawah itu”. (Riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan Ibn Hibban).
Sayyidina Hasan r.a. telah membesar di bawah jagaan dan tarbiah daripada Rasulullah SAW sendiri, dan Baginda sangat cintakan beliau. Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Baginda SAW telah berdoa pada Sayyidina Hasan r.a:
اللَّهُمَّ إِنِّي أُحِبُّهُ فَأَحِبَّهُ، وَأَحِبَّ مَنْ يُحِبُّهُ
“Wahai Tuhan, sesungguhnya aku mencintainya; maka cintailah dia, dan cintailah orang yang mencintainya”. (Riwayat al-Bukhari)
Baginda Nabi SAW juga telah bersabda pada beliau dan saudara beliau Sayyidina Husein r.a:
هُمَا رَيْحَانَتَايَ مِنَ الدُّنْيَا
“Mereka berdua adalah rezeki dan kerehatanku daripada dunia”. (Riwayat al-Bukhari)
Ketokohan Sayyidina Hasan r.a. telah ditegaskan oleh Nabi SAW apabila Baginda bersabda:
إِنَّ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ، وَلَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ عَظِيمَتَيْنِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Sesungguhnya anakku ini adalah seorang penghulu, dan mudah-mudahan Allah akan mendamaikan dengannya antara dua puak besar dari kalangan orang Islam”.
Kepenghuluan Sayyidina Hasan r.a. bukan hanya di dunia, malah di akhirat juga, berdasarkan sabda Baginda Nabi SAW:
الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ سَيِّدَا شَبَابِ أَهْلِ الْجَنَّةِ
“Hasan dan Husein adalah dua orang penghulu para pemuda ahli syurga”.
Antara kata-kata yang diriwayatkan daripada Sayyidina Hasan r.a. ialah:
إنّ أكْيَسَ الكَيْسِ التُّقَى، وإنّ أحْمَقَ الحُمْقِ الفُجُورُ
“Sesungguhnya kecerdikan yang paling cerdik ialah taqwa, dan kebodohan yang paling bodoh ialah maksiat”. (Riwayat al-Hakim)
Semoga keperibadian penghulu para pemuda ahli syurga ini dapat menjadi contoh ikutan kita untuk menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa.
https://www.facebook.com/datonikamar
MOHD AMAR ABDULLAH | 16 RAMADAN 1442
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim