Home Berita PAS Melaka

Sumbangan diberi tidak kira latarbelakang politik – Sham

421
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 18 Apr : Sumbangan yang diberikan adalah untuk mereka yang layak daripada golongan B40 tanpa melihat latar belakang politik.

“Kami di dalam kumpulan ini terdiri daripada berbagai-bagai penyokong parti politik. Tidak kira (parti) kerajaan, tidak kira (parti) pembangkang. Semua ada menyumbang.

“Dan sumbangan ini juga untuk sesiapa sahaja tidak kira parti politik. Asalkan mereka orang susah.”

Fadaly Sham Abu Samad (Kanan)

Demikian dinyatakan salah seorang penggerak utama program bantuan Ramadan kelolaan Sahabat76 Persatuan Bekas Pelajar SMK (A) Sultan Muhammad (SMEXSA) Fadaly Sham Abu Samad, 45.

Menurut Sham, program yang telah masuk tahun ketiga ini adalah satu usaha murni untuk membantu orang ramai yang susah yang kurang berkemampuan.

“Kita faham ramai rakyat yang susah. Lebih-lebih lagi kerana Covid-19 sekarang ini. Dan kita cuba bantu mana yang terdaya.

“Insya-Allah minggu depan kita akan edar kit makanan ini untuk penduduk sekitar Kampung Bukit Tembakau.

“Nama-nama penerima akan disediakan oleh sahabat kita di sana Ustaz Fadhil Sulaiman,” ujar beliau yang merupakan seorang kontraktor.

Sham berkata demikian ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) selepas selesai mengedarkan kit makanan dan wang tunai kepada penduduk sekitar Tanjung Bidara di sini, pagi semalam.

Program edaran yang turut dibantu oleh JPKK Kampung Ayer Hitam Pantai dan Kampung Pasir Gembor ini melibatkan seramai 14 orang ahli Sahabat76 SMEXSA bersama empat buah kenderaan dan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari.

Sahabat76 SMEXSA adalah batch daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam, yang tahun kelahiran mereka pada tahun 1976.

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .