Home Berita PAS Melaka

Rencana | Perniagaan – siapa lebih diperlukan dia berkuasa.

439
SHARE
Kredit foto : Google

Oleh IBNU JANIE

SEMASA penulis membuka sebuah kedai buku dahulu penulis ada menempah pelekat untuk ditampal sebagai hiasan untuk mencantikkan lagi pintu kaca kedai penulis. Mengikut rancangan penulis pelekat itu akan diletakkan sekali logo penerbit-penerbit buku terkenal yang buku-buku mereka ada dijual di kedai penulis itu.

Namun perekabentuk pelekat itu tidak bersetuju penulis meletakkan logo penerbit-penerbit buku terkenal di pelekat itu. Pada pandangan perekabentuk itu, buat apa kita memberi promosi percuma kepada penerbit itu. Lainlah jika mereka membayar kita kerana mempamerkan logo mereka itu. Itu pandangan perekabentuk itu.

Sebenarnya untuk mengatakan bahawa dengan meletakkan logo-logo penerbit terkenal merupakan sesuatu yang silap kerana seolah-olah memberi publisiti percuma kepada penerbit-penerbit itu sebenarnya adalah sesuatu yang silap.

Apa yang berlaku ialah dengan meletakkan logo-logo penerbit terkenal di pintu kedai akan menarik lebih ramai orang datang ke kedai penulis. Ini adalah kerana penerbit-penerbit besar seperti Alaf21, Buku Prima, PTS, Karyaseni dan lain-lain lagi ini sudah ada peminat mereka sendiri.

Jika sesebuah kedai buku itu ada menjual buku-buku terbitan syarikat-syarikat ini maka peminat-peminat buku terbitan penerbit-penerbit terkenal ini akan datang membeli di kedai itu.

Adakah jika kita meminta penerbit-penerbit ini untuk membayar kepada kedai kita untuk kita meletakkan logo-logo mereka ini di dinding kedai kita mereka mahu membayarnya? Saya percaya tidak. Ini adalah kerana mereka tidak perlu pada publisiti kita dengan jenama mereka kerana mereka sudah sedia terkenal.

Adakah dengan tidak mempamerkan logo penerbit-penerbit terkenal ini akan menyebabkan penerbit-penerbit ini rugi? Tidak juga. Sebab mereka memang sudah terkenal.

Kredit foto : Google

Adakah dengan tidak mempamerkan logo penerbit-penerbit terkenal ini menyebabkan sesebuah kedai buku kecil itu rugi? Kemungkinan besar. Ini adalah kerana pembeli tidak tertarik untuk masuk ke kedai itu kerana beranggapan mungkin buku terbitan penerbit kesukaan mereka tidak dijual di situ.

Nampaknya, yang rugi lebih kepada kedai buku itu sekiranya dia tidak mempamerkan logo penerbit-penerbit terkenal itu di dinding kedainya.

Wah! Kalau macam tu untunglah penerbit-penerbit terkenal ini. Sudahlah kedai-kedai perlu mempamerkan logo-logo mereka, secara percuma pula tu!

Sepak terajang dunia perniagaan

Sebenarnya itulah sepak terajang dalam dunia perniagaan. Siapa yang lebih diperlukan dia lebih berkuasa berbanding dengan mereka yang memerlukan.

Selain daripada contoh publisiti tadi, ia juga terpakai untuk urusan pembelian stok jualan daripada pengilang, penerbit atau pemborong kepada peruncit.

Dalam rantai bekalan produk jualan sesuatu produk biasanya akan melibatkan tiga peringkat utama iaitu yang pertama pengilang, iaitu mereka yang membuat produk tersebut; kedua ialah pemborong, iaitu mereka yang menjadi orang tengah antara pengilang dan peruncit; dan yang ketiga ialah peruncit iaitu mereka yang menjual sesuatu produk itu kepada pelanggan akhir.

Apabila disebutkan soal pengilang, pemborong dan peruncit ini kita akan boleh membincangkan beberapa isu yang biasa berlaku kepada ketiga-tiga pihak ini dalam menjalankan urusniaga mereka.

 

Kredit foto : Google

Antara pengilang/penerbit, pemborong atau peruncit siapakah yang lebih berkuasa? Sebenarnya kedudukan jenis perniagaan itu tidak menentukan ia lebih berkuasa daripada yang lain.

Tidak bermaksud sesuatu pengilang/penerbit itu lebih berkuasa berbanding pemborong kerana dia yang mengeluarkan produk itu.
Namun begitu ia bergantung kepada siapa yang lebih memerlukan.

Tunai, kredit atau ‘consignment’?

Hakikatnya seseorang peruncit itu memang kalau boleh mereka mahu sesiapa sahaja yang mahu membekalkan stok jualan kepada mereka akan menjual kepada mereka secara ‘consignment‘.

Consignment‘ bermaksud produk tersebut tidak perlu dibeli oleh peruncit. Stok itu akan diberikan kepada peruncit dan pembekal akan menuntut bayaran daripada peruncit hanya jika produk itu dijual. Peruncit boleh memulangkan semula produk tersebut kepada pembekal sekiranya produk itu tidak terjual.

Selain itu pembekal mungkin memberi kemudahan kredit atau hutang, iaitu peruncit boleh menbayarnya pada satu jangkamasa tertentu pada masa hadapan.

Samada seseorang peruncit itu boleh mendapat kemudahan ‘consignment‘, kredit atau kena membeli secara tunai daripada pembekal adalah bergantung kepada prinsip ‘siapa lebih memerlukan’.

Semasa penulis mula-mula berniaga dahulu penulis tidak pandai lagi soal berurus niaga. Satu ketika seorang pemborong produk pelekat penunjuk arah datang ingin menjual produknya kepada penulis.

Dia mengatakan barangan itu hanya dijual secara tunai. Oleh kerana penulis sangat inginkan produk itu maka penulis pun membelinya secara tunai.

Namun selepas banyak berguru dengan seorang rakan yang sudah lama berniaga barulah penulis faham. Sebenarnya sebagai peruncit sebaik-baiknya kita mesti meminta agar pembekal menjual kepada kita secara ‘consignment‘. Namun begitu ia sebenarnya tidak disukai oleh pembekal.

Selepas memahaminya maka selepas daripada itu jika ada pembekal baharu yang datang untuk menjual produknya kepada penulis, maka penulis akan meminta mereka menjual secara ‘consignment‘.

Tapi adakah semua akan akur kepada tuntutan penulis itu? Tidak juga. Pembekal macam mana yang akan akur? Pembekal yang akan akur ialah mereka yang menjual produk-produk yang tidak atau kurang terkenal.

Mereka tahu bahawa mereka perlu mengambil hati penulis agar mereka berjaya meletakkan produk mereka agar dijual di kedai penulis. Jika mereka mahu menjual secara tunai atau kredit mungkin penulis terus tidak mahu membeli produk mereka.

Maka mereka akan menawarkan kaedah pembayaran yang paling disukai penulis sebagai peruncit iaitu ‘consignment‘ untuk mengambil hati penulis. Di sini kita lihat siapa yang lebih memerlukan?

Ya, pembekal tadi lebih memerlukan penulis yang merupakan peruncit. Ini adalah kerana penulis tidak rugi apa-apa jika penulis tidak membeli produk itu tetapi pembekal itu yang rugi.

Dalam pengalaman penulis, biasanya untuk alat tulis dan cenderahati penulis akan membeli daripada pemborong. Tetapi untuk buku biasanya penulis membeli terus daripada penerbit.

Sungguh pun begitu kuasa penulis sebagai peruncit kepada pemborong atau penerbit itu pun adalah untuk produk-produk atau penerbit-penerbit yang tidak terkenal. Bagi produk-produk yang terkenal peruncit pula tidak ada kuasa.

Kredit foto : Google

Contohnya untuk buku-buku dari penerbit yang terkenal mereka pula yang menentukan syarat. Oleh kerana kita ingin menjual produk mereka ini maka kita sudah hilang kuasa. Jika kita tidak menjual produk mereka pelanggan pula tidak datang ke kedai kita.

Untuk kedai buku margin keuntungan biasanya ialah 30 peratus. Itu yang kita akan dapat daripada penerbit. Namun ada juga yang memberi 35 peratus malah ada sehingga 50 peratus.

Namun ada penerbit-penerbit terkenal yang tidak akan memberi margin keuntungan yang besar kepada peruncit kerana mereka tahu buku-buku mereka memang sangat laris dan diminta oleh pelanggan. Mereka tahu peruncit memang perlukan buku-buku itu, jadi mereka ‘pegang’ harga. Di sini penerbit berkuasa.

Begitulah kuasa yang ada pada seseorang peniaga yang seseorang peniaga itu harus faham. Sekiranya mereka faham maka mereka akan mendapat banyak kelebihan dalam berurusniaga.

Jika kita tersilap dan menganggap bahawa kita dalam posisi berkuasa pada hal kita sebenarnya tidak berkuasa maka kita mungkin akan kehilangan peluang perniagaan.

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) pada 12 April 2021 bilangan 2640

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .