Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Lagi kluster baharu – Kluster Jalan Gapam

379
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 14 Apr : Satu lagi kluster baharu diumumkan hari ini iaitu Kluster Jalan Gapam yang dikesan di Daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Demikian dinyatakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu petang tadi.

Menurut laporan itu siasatan mendapati indeks kes kluster yang mula dikesan pada 9 April lepas itu ada sejarah menghadiri majlis perkahwinan di Negeri Sembilan.

Kata laporan itu lagi, seramai 102 kontak rapat telah dikenalpasti iaitu 40 orang kontak keluarga, seorang kontak rapat sosial sementara 61 orang lagi adalah kontak tempat kerja di mana sehingga ke hari ini seramai 10 orang telah disahkan positif Covid-19.

Laporan itu juga berkata, selain kluster baharu itu kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Jalan Kenanga, Kluster Teknologi Lot Enam, Kluster DTI Machap Umboo, Kluster Jalan Mata Kuching dan Kluster Malim Jaya.

Sementara itu sebanyak enam kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan lima kes adalah daripada kategori kes tempatan sementara satu kes lagi daripada kategori import.

JKNM juga melaporkan sebanyak 13 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 183 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan tiga kes ICU dan dua kes bantuan alat pernafasan.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 22 mukim berada di zon hijau dan sembilan mukim lagi berada di zon kuning.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 12 mukim di dalam zon hijau, 16 mukim lagi di dalam zon kuning, dan satu mukim dalam zon jingga.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 14 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara tujuh lagi adalah dalam zon kuning.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1889 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kembali mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 517 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 489 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 365,829 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .