Home Berita PAS Melaka

Rencana | Komited pertahan keadilan, kebebasan perundangan

289
SHARE
Datuk Dr Xavier Jayakumar

Oleh IBNU JANIE

APABILA Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar mengisytiharkan meninggalkan PKR dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) maka kita dapat melihat komen-komen di media sosial seolah-olah penyertaan mereka ini ada kaitan dengan ugutan dan kes mahkamah. Itu kata netizen di media-media sosial.

Ramai netizen yang mengaitkan perpindahan Dr Xavier ada kaitan dengan siasatan kes rasuah MA Thinagaran, bekas Pegawai Tugas-tugas Khas beliau semasa beliau bergelar Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH). Kes melibatkan wang jutaan ringgit dikatakan mungkin akan memalitkan dirinya juga. Itu kata netizen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang sedang menghadapi siasatan satu kes rogol pula secara rasmi turut menyertai parti kerajaan tidak lama dulu. Juga dikaitkan netizen dengan usaha untuk menyelamatkan dirinya.

Paul Yong Choo Kiong

Itu sekadar dititipkan beberapa contoh. Namun rata-rata di media sosial netizen dilihat mempercayai dan meyakini bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang yang ada kes ini sekonyong-konyong berubah menyokong kerajaan kerana mahu menyelamatkan kes mereka.

Itu adalah apa yang ada dalam minda rakyat dan orang ramai. Tanggapan orang ramai yang tidak dapat dipastikan samada betul atau salah ini kita panggil sebagai ‘persepsi’.

Suka tidak suka persepsi memainkan peranan yang maha besar dalam sokongan rakyat terhadap politik, walau pun ‘persepsi’ itu belum tentu betul. Dan persepsi rakyat terhadap sistem keadilan negara adalah salah satu persepsi penting yang bermain dalam kepala rakyat atau netizen.

Dalam prinsip undang-undang sendiri ada menyatakan bahawa ‘keadilan itu bukan sahaja harus ditegakkan tetapi harus dilihat telah ditegakkan’. Terma ‘dilihat’ itu sendiri memberikan maksud ‘persepsi’.

Ini bermakna sekiranya keadilan itu telah ditegakkan, namun sekiranya dalam usaha menegakkan keadilan itu tidak terlihat di mata orang ramai sebagai telah ditegakkan, maka ia dianggap gagal mencapai objektifnya.

Memang tidak dapat dipastikan fakta sebenar sejauh manakah tahap kebebasan sistem keadilan di negara kita berada. Namun di bawah sana sudah terpasak dalam minda kebanyakan rakyat bahawa campur tangan kerajaan terhadap sistem keadilan memang berlaku.

Persepsi dah lama terpahat

Ini bukan persepsi baharu. Penulis masih ingat lagi, sejak puluhan tahun dahulu, jika ada tokoh-tokoh politik kerajaan terlibat dengan apa-apa skandal, seolah-olah sudah diketahui awal keputusannya. Kebanyakan mereka pasti dilepaskan dengan berbagai-bagai alasan; paling “cliche’ alasan ‘tidak cukup bukti’.

Ini persepsi yang ada dalam kepala rakyat yang terbentuk sekian lama, ‘orang politik kerajaan mesti lepas’. Itu persepsi yang tertanam.

Ada juga beberapa kerat yang akan dibicarakan atau dihukum dilihat sekadar kambing hitam untuk menunjukkan bahawa ada penguatkuasaan. Hakikatnya mereka yang benar-benar berpengaruh akan terlepas. Itu persepsi rakyat.

Persepsi yang telah berpuluh tahun terpasak di dalam pemikiran rakyat ini adalah sesuatu yang merbahaya kepada institusi penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman.

Bukti wujudnya persepsi bahawa pemimpin politik ada campur tangan dalam keputusan mahkamah ialah apabila ada tokoh-tokoh politik tertentu didakwa atau dijatuhkan hukum tiba-tiba Perdana Menteri yang menjadi sasaran serangan oleh penyokong-penyokong tokoh tersebut. Pada hal yang menjatuhkan hukuman adalah Hakim yang berada dalam satu sistem yang terasing dengan Eksekutif.

DAP-PH pun sama

DAP-PH yang berdegar-degar mahu mewujudkan sistem keadilan yang telus pun gagal untuk mengubah persepsi ini. Penulis bukan menuduh tiada ketelusan sistem keadilan semasa pemerintahan PH, tetapi PH gagal mewujudkan persepsi bahawa keadilan telah ditegakkan semasa mereka berkuasa.

Ini dapat dilihat dengan banyaknya kes-kes mahkamah melibatkan pimpinan mereka yang digugurkan melalui cadangan Pejabat Peguam Negara. Pelantikan Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada kalangan aktivis parti PH juga menambahkan kecelaruan prinsip yang cuba dibawa oleh PH.

Jika benar tuduhan yang dibuat kepada mereka semasa mereka menjadi pembangkang dahulu adalah suatu penganiayaan mengapa mereka perlu takut untuk masuk mahkamah sedangkan pada masa itu mereka sudah pun berkuasa?

Biarlah segala bukti dan hujah dibentang dalam perbicaraan mahkamah agar rakyat juga dapat menilainya. Maka nama mereka dapat dibersihkan.Tapi mereka memilih untuk menggugurkan kes mereka seterusnya tambah memburukkan persepsi orang ramai terhadap ketidaktelusan sistem keadilan negara. PH juga dilihat sama sahaja dengan regim lama.

Kerajaan PN harus jadi contoh

Kerajaan PN kena memastikan bahawa tidak timbul kejadian pengguguran pertuduhan terhadap ahli politik yang mempunyai kes yang telah berubah menyokong kerajaan. Jangan sampai timbul persepsi bahawa kerajaan bertindak mengganggu sistem keadilan dengan menyelamatkan golongan ini.

Kerajaan PN juga harus menjadi contoh bahawa tidak ada siapa pun yang akan terselamat daripada diadili dengan seadil-adilnya walau pun mereka tokoh besar. Tidak harus wujud situasi seolah-olah seseorang tokoh itu terlepas daripada undang-undang kerana pengaruhnya.

Kerajaan PN mesti memastikan bahawa semua kes-kes berprofail tinggi samada yang sedang atau bakal dibicarakan mesti dilihat rakyat telah diadili dengan sepatutnya.

Jika pada kali ini rakyat dapat melihat ada tokoh yang selama ini dianggap kebal daripada undang-undang berjaya dihukum maka kerajaan PN akan dapat mengubah persepsi rakyat bahawa sistem keadilan ini boleh dipengaruhi oleh orang politik.

Rakyat mahu melihat fenomena ini. Rakyat mahu melihat mana-mana pemimpin yang didapati bersalah menyalahgunakan kuasa dan mengumpul kekayaan dengan cara salah semasa mereka berkuasa ini harus dihukum dengan seadilnya. Sesuatu yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini. Yang hanya wujud dalam mimpi mereka sahaja selama ini.

Jika ini berlaku, rakyat akan ingat PN sebagai sebuah kerajaan yang memenuhi aspirasi mereka. Mereka ingin menyaksikan sejarah tercipta terhadap sesuatu yang mereka tidak pernah lihat sebelum ini.

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) pada 2 April 2021 bilangan 2637

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .