Oleh MARYAM IMRAN
8 Mac meraikan Hari Wanita sebagai memperingati bagaimana istimewanya hak wanita yang diberikan oleh Allah SWT dalam Islam.
Ingin dikongsikan satu kitab yang terserlah tulisannya merah jambu ‘نساء مؤمنات ‘ yang dikarang oleh Al Imam Sheikh Yusuf Al Qaradhawi.
Dibuka helaian demi helaian, tulisan menyentuh perihal dan cara hidup srikandi golongan terdahulu.
Diceritakan perjalanan para srikandi agung silam sebagai ikon bagi wanita Muslimah hari ini untuk mereka menjadikan idola mereka dalam mengharungi kehidupan.
Srikandi terdahulu bukan sahaja orang yang teguh keimanan dan ketakwaan pada Allah SWT malah terlibat sama dalam aktiviti kemasyarakatan.
Antaranya..
Saiyidatuna Khadijah binti Khuwailid. Kemuliaan dan kedudukannya yang Allah janjikan beliau adalah seorang wanita dibina baginya istana di syurga kelak. Beliau digelar ‘الطاهرة’ yang cukup memelihara diri daripada perkara yang tidak baik. Dan ‘بسيدة نساء قريش ‘ kaum Quraisy menggelarnya sebagai ‘penghulu wanita’.
Begitu juga ‘Ummu Sulaim’ yang aktif lagi dikenali dan dihormati masyarakat. Beliau juga turut menyertai jihad bersama Nabi SAW dengan menolong tentera-tentera memberi minum serta rawatan.
Ketahuilah…
Sejarah yg dinukilkan ini sudah membuktikan bahawa kedatangan Islam itu sendiri sebenarnya telah memartabatkan kedudukan wanita itu sendiri sebagai manusia.
Wanita memang dianggap golongan yang lemah, tetapi bukan lemah yang boleh diseksa. Wanita golongan lemah kerana asalnya dicipta daripada tulang rusuk lelaki. Begitulah Islam mengangkat darjat seorang wanita.
Hal ini membuktikan wanita bukanlah insan yang dipenjarakan, dikongkong, malah mereka sayap kiri perjuangan.
Hari ini, wanita dan pekerjaan, sering kali menjadi permasalahan wanita dan Muslimah. Adakah wanita mampu terkehadapan? Adakah wanita boleh memegang jawatan?
Pelbagai persoalan yang ditimbulkan..
Hari ini realitinya, kebangkitan wanita dari sudut menceburi alam pekerjaan cukup jelas berbanding dahulu.
Jika difahami bahawa hukum asal wanita adalah duduk di rumah berdasarkan kesesuaiannya, akan tetapi kaedah ini sama sekali tidak mengharamkan bagi wanita untuk bekerja di luar rumah iaitu dengan beberapa syarat di dalam membenarkan sesuatu pekerjaan tersebut.
Beberapa pandangan Al Imam ada menyebut antaranya:-
• Pekerjaan yang dilakukan mestilah halal
• Wanita Muslimah beriltizam dan mengikuti syar’ie dari segi pakaian, percakapan, pergerakan dan sebagainya.
• Pekerjaan yang dilakukan itu tidak mengorbankan tanggungjawab sebagai wanita/Muslimah/ibu.
Oleh itu setiap wanita Muslimah mestilah mengikuti syariat dan menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup agar mendapat keredaan Allah SWT.
Moga semua direzekikan himmah seperti wanita-wanita yang agung dalam sirah Islam. Dan wanita Muslimah diimpikan syurga. Insya-Allah, Amin.
Penulis adalah Ketua Ameerah PAS Kawasan Masjid Tanah.