Home Artikel PAS Wilayah

PAS Wangsa Maju cakna Kebajikan pemandu teksi

241
SHARE

Oleh: Muhamad Abdul Fateh

Wangsa Maju : Prihatin dengan nasib pemandu teksi yang terkesan dengan pandemik Covid-19, PAS Kawasan Wangsa Maju menerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan membantu 27 pemandu dua hari lalu.

Pendapatan mereka difahamkan merosot sehingga 80 peratus semenjak pelaksanaan PKP Mac tahun lalu, malah ada pemandu teksi yang pulang tangan kosong kerana tiada pelanggan dan ada juga yang terpaksa berhenti kerana tiada pilihan.

Pemandu teksi Hamdan Hamza, 70, berkata, adakalanya dia memperoleh RM10 hingga RM12 sehari, malah pernah pulang dengan tangan kosong.

Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Wangsa Maju terpanggil membantu golongan tersebut setelah mengetahui kesusahan yang dialami mereka melalui media tempatan.

Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyatakan bahawa sumbangan itu adalah hasil infaq orang awam dan pelbagai pihak.

“Ketika pandemik ini, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Wangsa Maju ada mewar-warkan yang kita semua perlu bantu mereka yang terkesan akibat Covid-19.

“Ramai tersentuh hati dan berkongsi rezeki dengan memberi sumbangan. Barangan yang kita berikan ini termasuk beras serta beberapa keperluan asas dapur bernilai RM70.

“Kami harap bantuan ini dapat meringankan bebanan mereka”, jelas beliau ketika ditanya berkenaan sumbangan yang diberikan.

Turut hadir ialab Timbalan Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Haji Azhar Omar, Naib Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Haji Izamuddin Ludin, Ketua Lajnah Kebajikan, Puan Asiah Baki dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Nur Azmi Yusuf.