Home Berita PAS Melaka

Iqtisad Rakyat : Isu perumahan – Antara keperluan dan kemampuan

622
SHARE

Oleh Haji Rafie Ahmad

BARU-BARU ini penulis berjumpa dengan seorang pekerja swasta yang berusia sekitar lewat 30-an di sebuah bank di Melaka. Raut wajahnya seperti sedikit suram. Tampak seperti ada sesuatu yang mengganggu benak fikirannya.

Dengan suara yang agak kecewa beliau berkata, “Tuan rumah minta kosongkan rumah, dia nak tinggal di situ kerana akan pencen bulan depan,” luah pemuda itu.

Dalam perbualan itu, pemuda itu berkata dia telah hampir 10 tahun menyewa di situ. Bermula dengan sewa bulanan RM350 hinggalah sekarang ini hampir mencecah RM550 sebulan. Katanya lagi, dia telah beberapa kali cuba memohon pinjaman bank untuk membeli rumah, namun tidak berjaya atas faktor gaji dan isterinya pula tidak bekerja.

“Gaji saya sekitar RM1,800.00 sebulan dan ada empat orang anak,” tambah pemuda itu lagi.

Cerita di atas adalah kisah sebenar daripada sekian banyaknya kisah hidup rakyat khususnya golongan B40 di negara kita ini. Baik di Melaka, Johor, Seremban, Kuala Lumpur hatta di mana saja, kisah pemilikan rumah sendiri ini merupakan satu permasalahan yang agak kritikal dan tampak seperti belum ada jalan penyelesaian yang tuntas.

 

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2624 bertarikh 12 Februari 2021

 

Memiliki rumah adalah merupakan impian setiap insan. Umum mengetahui bahawa tempat tinggal merupakan faktor asas kehidupan setiap insan di samping soal makan minum, pakaian, kesihatan dan keselamatan. Namun, menyelusuri permasalahan semasa hari ini, memiliki kediaman sendiri bukanlah merupakan satu perkara yang mudah untuk dicapai.

Bagi yang tinggal di kampung dan mempunyai tanah pusaka peninggalan orang tua mereka, masalah ini mungkin tidak timbul kerana mereka boleh membina kediaman mereka sendiri. Namun bagi yang tiada, keadaan hari ini tidak memungkinkan mereka untuk memiliki rumah kerana harga jualan oleh pemaju adalah tinggi serta di luar kemampuan mereka. Tambahan pula ramai yang merungut kerana katanya syarat pinjaman bank sekarang ini terlalu ketat.

Apa itu rumah mampu milik?

Mengikut data piawaian Bank Dunia, harga rumah yang dikategorikan sebagai rumah mampu milik adalah berjumlah tiga kali ganda daripada gaji tahunan mereka. Mengambil contoh daripada kisah pemuda di atas, dengan gaji bulanan sekitar RM1,800.00 sebulan dan anggaran tahunan sekitar RM 21,600.00, maka harga rumah mampu milik beliau adalah berjumlah RM64,800.00. Soalnya, wujudkah lagi harga rumah sebegini di negara kita pada hari ini dan apakah nasib mereka ini?

Rumah mampu milik – Gambar Hiasan (Kredit foto : Google)

Hari ini, secara puratanya harga rumah di Melaka contohnya, berada pada kadar RM150,000.00 ke RM180,000.00 dan ia adalah jenis kediaman berbentuk rumah pangsa atau kluster. Manakala bagi jenis teres satu tingkat pula sekitar RM200,000.00 ke atas.

Harga ini sudah tentu akan berubah mengikut lokasi, jenis dan prasarana sedia ada. Bagaimana pula dengan harga rumah di bandar-bandar utama seperti di Kuala Lumpur dan lain-lain? Sudah tentu ianya akan berlipat kali ganda. Persoalannya di sini, kenapa harga rumah di Malaysia begitu tinggi? Malah wujud kata-kata bahawa rumah sekarang ini hanya mampu lihat dan bukannya mampu milik.

Mengikut teori asas ekonomi, titik keseimbangan seharusnya dicapai bilamana permintaan berada pada garis yang sama dengan penawaran. Namun dalam soal hartanah, teori ini seakan-akan tidak wujud. Di bandar-bandar besar, penawaran lebih tertumpu kepada rumah jenis kos tinggi seperti banglo, ‘service apartment’, kondominium dan rumah berkembar. Harga pula mencecah jutaan ringgit dan sudah tentu hanya sebilangan kecil pembeli saja yang mampu membelinya. Akhirnya ia membawa kepada permasalahan lain pula seperti lambakan hartanah yang tidak terjual.

Syarat pinjaman ketat?

Berbalik kepada persoalan tentang syarat pinjaman bank yang terlalu ketat. Benarkah begitu dan apa rasionalnya? Dalam satu artikel yang ditulis oleh perunding hartanah daripada syarikat Ezza Wealth Management Sdn Bhd, menurut data daripada Bank Negara Malaysia, pada 2017, kadar penolakan pinjaman rumah berada pada kadar 23.1 peratus bermakna daripada 100 orang pemohon hanya 23 permohonan ditolak.

Justeru untuk dikaitkan dengan syarat ketat oleh pihak bank ianya tampak kurang relevan. Sebaliknya pemohon sendiri mungkin tidak berkemampuan untuk membayar semula pinjaman bank jika ianya diluluskan. Tentunya pihak bank mempunyai kriteria mereka dalam soal ini bagi tujuan untuk menyelamatkan kedua-dua belah pihak iaitu bank dan peminjam.

Apa guna pinjaman diluluskan tetapi akhirnya ia tidak mampu dilunaskan. Berapa banyak hartanah yang dilelong dan berapa banyak pula peminjam yang diisytiharkan muflis? Justeru apakah solusi kita di sini atau dengan lain perkataan, dengan izin, “how to”?

Perkara pokok di sini sudah tentu antara dua isu utama iaitu permintaan dan penawaran. Kerajaan khususnya melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan beberapa agensi yang lain seperti Jabatan Perangkaan boleh mengumpulkan data tentang jumlah penawaran dan permintaan yang sebenar.

Data ini secara umumnya akan dapat menilai jumlah penawaran dan jenis penawaran mengikut permintaan pasaran yang sebenar. Justeru ianya akan dapat mengurangkan lambakan hartanah dan dalam masa yang sama dapat memenuhi permintaan yang sebenar.

Mungkin tidak semua mampu membeli rumah dan ada yang selesa dengan menyewa sahaja. Justeru soal kadar sewa juga perlu dinilai agar berpatutan. Kita sedia maklum, di bandar-bandar besar terutamanya kadar sewa bulanan yang dikenakan begitu tinggi hingga mencecah RM1,000.00 sebulan untuk sebuah rumah jenis rumah pangsa dua bilik. Di manakah kemampuan bagi mereka yang berpendapatan rendah?

Akhirnya diharapkan kerajaan akan dapat membina lebih banyak perumahan rakyat seperti PPR dan disewakan dengan kadar sewaan yang berpatutan. Dalam masa yang sama akta sewaan boleh diperkemaskan.

Moga negara dan rakyat Malaysia akan terus aman dan sejahtera.

Penulis adalah Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu dan ahli Grup Penulis PAS Melaka

PAU USTAZ
Gerai hadapan Taman Bunga Raya Seksyen-3 dan Klinik Munshi, Bukit Beruang Melaka. Tempahan Whatsapps : +60136315113

TEPEN FROZEN YONG TAU FOO
Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera – Bahrum : 011-16964842