Home Berita PAS Melaka

Rencana : Kenali organisasi Transparency International dan CPI

788
SHARE

 

Oleh :  Ibnu Janie

BARU-BARU ini Malaysia digemparkan dengan berita kejatuhan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi negara kita daripada kedudukan ke 51 pada tahun 2019 kepada kedudukan ke 57 pada tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Tranparency International. Apa sebenarnya Transparency International ini dan apa itu CPI?

Transparency International adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa yang beribu pejabat di Berlin, German dan ditubuhkan pada tahun 1993 bertujuan untuk memantau kegiatan rasuah yang berlaku di negara-negara di seluruh dunia.

Bangunan menempatkan ibu pejabat Transparency International (Kredit foto : Google)

 

Organisasi ini mengeluarkan satu dapatan kajian yang dipanggil sebagai Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index – CPI) yang menunjukkan skor yang akan diperolehi oleh sesebuah negara terhadap persepsi berlakunya aktiviti rasuah di dalam negara itu.

CPI yang pertama dikeluarkan pada tahun 1995 iaitu pada tahun ketiga ia beroperasi. CPI yang pertama ini hanya melibatkan 45 buah negara sahaja termasuk Malaysia. Pada waktu itu Malaysia berada pada kedudukan 23 daripada 45 negara yang dicerap.

Pada tahun 1998 jumlah negara yang dicerap meningkat kepada 85 buah negara. Jumlah negara yang dicerap terus meningkat kepada 158 buah negara pada tahun 2005 dan pada tahun 2010 jumlahnya ialah 178 buah negara. Sehingga tahun 2020 jumlah negara yang dicerap ialah sebanyak 180 buah negara.

Ibu pejabat Transparency International (Kredit Foto : Google)

 

Kaedah pemarkahan

Kaedah pemarkahan yang digunakan ialah dengan memberi skala daripada kosong hingga 100. Lebih tinggi skala yang diperolehi lebih baik. Ini bermakna skala terbaik ialah 100 dan skala paling buruk ialah kosong.

Skop yang diambil kira dalam kajian ini ialah berkaitan dengan rasuah, penyalahgunaan dana kerajaan, keberkesanan pendakwaan ke atas kes rasuah, kebolehcapaian ke atas maklumat rasuah dan perlindungan undang-undang ke atas pemberi maklumat, wartawan, penulis atau penyiasat yang mendedahkan kes rasuah di sesebuah negara.

Namun, kajian ini tidak mengambilkira isu penipuan cukai, kerahsiaan kewangan, penggubahan wang haram dan aliran wang haram.

Walau pun pada tahun-tahun awal kajian ini dibuat melibatkan cerapan data daripada pendapat orang ramai namun kini cerapannya hanya melibatkan mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan. Ia tidak melibatkan orang awam biasa yang tidak terlibat dalam perniagaan.

Logo Transparency International (Kredit Foto : Transparency International)

 

Cara data cerapan diambil

Cerapan ini dilakukan oleh 11 organisasi terpilih di seluruh dunia yang akan menghasilkan 13 kajiselidik bagi mendapatkan hasil dapatan bagi membentuk indeks ini.

Institusi itu ialah African Development Bank (Ivory Coast), Bertelsmann Foundation (German), Economist Intelligence Unit (UK), Freedom House (AS), Global Insight (AS), International Institute for Management Development (Switzerland), Political and Economic Risk Consultancy (Hong Kong), The PRS Group, Inc. (AS), World Economic Forum, World Bank dan World Justice Project (AS).

Setiap negara harus dinilai oleh sekurang-kurangnya tiga daripada 13 sumber penyelidikan yang dilakukan oleh institusi-institusi ini untuk membolehkan ia layak dimasukkan ke dalam senarai CPI. Ini adalah untuk menjaga kredibiliti indeks ini.

Oleh kerana terdapat perubahan dari segi cerapan dan perbezaan kaedah antara organisasi-organisasi yang memberikan maklumat maka pada masa ini tahun 2012 telah dijadikan tahun asas terbaru bagi parameter pengiraan skor untuk kedudukan CPI ini.

Seperti mana namanya, Indeks ‘Persepsi’ Rasuah ini mengukur ‘tanggapan’ orang ramai terhadap kemungkinan berlakunya rasuah di sektor awam iaitu pentadbiran kerajaan sesebuah negara. Ia sebenarnya ukuran tanggapan dan bukannya ukuran sebenar aktiviti rasuah yang benar-benar berlaku di dalam sesebuah negara.

Ukuran persepsi ini digunakan kerana kesukaran untuk mengukur kadar kegiatan rasuah sebenar yang berlaku di dalam sesebuah negara.

Sungguh pun begitu, satu kajian yang dijalankan pada tahun 2012 menunjukan, walau pun CPI ini hanya mengukur persepsi, namun ia mempunyai korelasi yang sangat kuat dengan dua proksi rasuah yang lain iaitu aktiviti pasaran gelap dan peraturan perniagaan yang ketat. Untuk rekod, kajian Bank Dunia membuktikan hubungan positif antara peraturan perniagaan yang ketat dengan kemungkinan berlakunya rasuah.

Penulis adalah Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2624 bertarikh 12 Februari 2021

 

PAU USTAZ
Gerai hadapan Taman Bunga Raya Seksyen-3 dan Klinik Munshi, Bukit Beruang Melaka. Tempahan Whatsapps : +60136315113

TEPEN FROZEN YONG TAU FOO
Hubungi agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera – Bahrum : 011-16964842