Home Berita PAS Melaka

Celik ekonomi : Evolusi wang dan sandaran nilainya

1101
SHARE

 

Oleh : Ibnu Janie

WANG kertas dan syiling yang kita lihat hari ini adalah matawang moden yang telah melalui pelbagai perubahan sejak dari zaman primitif hingga sekarang. Sebelum manusia setuju untuk menggunakan wang sebagai alat pertukaran mereka terlebih dahulu menggunakan sistem barter iaitu bertukar barang.

Namun banyak kesukaran yang dihadapi dalam sistem barter menyebabkan manusia cuba mencari satu bahan atau objek yang diterima ramai sebagai alat pertukaran.

Kerana itu manusia zaman primitif mencari apa-apa objek yang sesuai untuk dijadikan wang yang akan memudahkan mereka menukarkan dengan barang-barang. Lalu manusia primitif mewujudkan wang komoditi. Wang komoditi adalah barang-barang yang diterima sebagai wang.

Antara objek yang pernah dijadikan wang ialah kulit siput, kulit binatang dan lain-lain lagi. Objek yang ingin dijadikan wang komoditi ini pula mestilah sesuatu yang sukar ditemui. Contohnya kulit siput akan dijadikan matawang oleh mereka yang tinggal di kawasan yang jauh dari laut jadi komoditi itu menjadi sesuatu yang tidak dapat ditemui dengan mudah dan dianggap berharga.

Apabila manusia mula pandai menempa logam maka mereka mula membuat wang daripada logam yang berharga. Ia samada emas, perak, tembaga dan lain-lain logam lagi.

Wang daripada logam-logam berharga ini menjadikan wang itu berdiri atas nilainya sendiri. Maknanya sekeping syiling emas dengan nilai tertentu akan tetap mempunyai nilai yang sama sekiranya ia tidak lagi berupa wang.

Untuk lebih jelas kita bandingkan dengan wang kertas RM100. Sekiranya wang kertas itu masih lagi dalam bentuk sehelai kertas kosong berapakah nilainya? Mungkin hanya lima sen sahaja. Berbeza dengan wang daripada logam berharga seperti emas, jika syiling emas itu dileburkan namun ia tetap bernilai sebagai emas.

Resit simpanan emas

Namun penggunaan wang daripada logam berharga menimbulkan satu lagi masalah iaitu ia berat untuk dibawa ke sana sini. Lalu timbullah organisasi-organisasi yang memberikan perkhidmatan untuk menyimpan emas-emas ini. Organisasi ini pula mengeluarkan satu resit sebagai bukti bahawa seseorang itu memiliki dan menyimpan sejumlah emas di situ.

Kemudian individu yang memegang resit tadi pula menggunakan resit itu sebagai ganti wang emas yang disimpan di organisasi penyimpan itu tadi. Lalu resit itu bertukar tangan daripada seorang ke seorang yang lain apabila berlaku pembelian dan urusniaga. Sesiapa yang sedang memiliki resit itu merekalah yang menjadi tuan baharu kepada emas yang disimpan itu.

Sistem ini dipercayai bermula di China semasa Dinasti Tang pada tahun 618 masihi. Dipercayai bahawa sistem inilah yang menjadi satu idea asal bagaimana wujudnya wang kertas yang ada dalam ekonomi moden pada hari ini.

Sehingga tahun 1914 semua sistem matawang kertas yang wujud di dunia ini mempunyai sandaran emas. Bermakna semua wang kertas yang dikeluarkan oleh sesebuah negara itu sebenarnya mempunyai nilai setara dengan emas yang disimpan oleh bank negara sesebuah negara.

Namun dari tahun 1918 hingga 1939 banyak negara-negara yang mula mencetak wang lebih banyak daripada nilai asal emas yang mereka simpan sebagai sandaran disebabkan negara-negara ini memerlukan banyak wang untuk menampung peperangan. Mereka sedikit demi sedikit memungkiri sandaran emas mereka.

Menjelang tahun 1933 hanya lima negara sahaja yang matawangnya mempunyai sandaran emas iaitu Perancis, Belgium, Belanda, Itali dan Swizeland yang dikenali sebagai ‘Gold Bloc Country’. Namun ini pun tidak dapat bertahan lama.

Masalah yang paling besar dihadapi dalam isu ini adalah keperluan untuk jumlah wang kertas yang lebih besar bagi memenuhi keperluan dan rakyat yang semakin ramai. Namun jumlah emas yang ada di atas muka bumi ini adalah terhad.

Sekiranya semua emas di dalam dunia ini digunakan untuk dijadikan sandaran wang maka orang-orang perempuan tidak akan berpeluang untuk memakai gelang dan rantai emas!

Persidangan Bretton Woods

Kerana itu pada Julai 1944 telah berlaku satu persidangan yang mempunyai pengaruh sangat besar terhadap sistem kewangan moden iaitu Persidangan Bretton Woods yang berlangsung di Bretton Woods, New Hampshire, Amerika Syarikat (AS).

Persidangan ini melibatkan 730 orang delegasi daripada 44 buah negara bagi membincangkan satu sistem baharu bagi memperbaiki sistem kewangan yang rosak teruk akibat Perang Dunia Kedua.

Ada tiga perkara penting yang terhasil daripada persidangan itu iaitu, yang pertama, wujudnya sistem Bretton Woods yang menjadi sistem baharu dalam kewangan dunia; yang kedua, wujudnya Bank Dunia dan yang ketiga wujudnya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)

Persidangan Bretton Woods di Bretton Woods, New Hampshire, Amerika Syarikat (AS). | Kredit foto : Google

Dalam sistem ini hanya matawang Dollar AS (USD) sahaja yang akan menggunakan sandaran emas. Matawang negara lain pula akan disandarkan kepada USD. Nilai yang ditetapkan pada masa itu ialah USD $35 adalah bersamaan dengan satu auns troy emas atau pun 31.1 gram. Maknanya USD $1 bersamaan atau disandarkan dengan 0.888 gram emas.

Namun, pada tahun 1971, Presiden AS, Richard Nixon telah membuat satu keputusan besar dengan membatalkan sandaran emas pada USD. Selepas tahun 1977 pula semua negara di dunia ini tidak lagi mempunyai sandaran nilai pada matawang mereka.

Bermula saat itu setiap negara boleh mengeluarkan wang sendiri tanpa perlu menyandarkan wang mereka dengan apa-apa sandaran. Ia dinamakan sebagai wang ‘Fiat’. Perkataan ‘Fiat’ ini berasal daripada perkataan latin yang bermaksud ‘biarlah dilakukan’ (let it be done). Wang Fiat ini wujud dengan keyakinan semata-mata.

Maksudnya mengapa anda percaya bahawa wang kertas RM10 yang kita ada itu memang nilainya RM10? Ini adalah kerana kerajaan memberitahu kita bahawa nilainya adalah RM10 dan kita percaya bahawa nilainya ialah RM10.

Namun kerajaan tidak boleh mencetak dan mengeluarkan wang sesuka hati kerana ini akan menyebabkan nilainya jatuh dan inflasi meningkat. Jumlah wang yang dikeluarkan harus sama dengan tingkat pengeluaran ekonomi negara. Jumlah wang yang beredar di dalam ekonomi negara sentiasa dipantau oleh Bank Negara Malaysia agar nilainya kekal stabil.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2622 bertarikh  5 Februari 2021


 

Agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN FROZEN
Hubungi Bahrum : 011-16964842