Home Artikel PAS Melaka

Perancangan kewangan Islam | PKP, anda dan perancangan kewangan

355
SHARE


Bersama perunding anda :

HAWA YAAKUB
Perunding Kewangan Berlesen

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh pandemik yang kita alami sejak awal 2020 memberikan impak kewangan yang berbeza kepada setiap individu, bergantung kepada sektor pekerjaan atau perniagaan masing-masing.

Ada sesetengah individu yang pendapatan mereka tidak terjejas langsung kerana PKP. Ada yang mengalami pengurangan pendapatan, ada pula yang hilang seluruh pendapatan.

Walau apapun keadaan yang kita alami, PKP dan pandemik telah mengajar kita bahawa antara perkara yang paling penting ialah kewujudan dana kecemasan yang sepatutnya mampu menanggung perbelanjaan kita selama sekurang-kurangnya enam bulan, atau lebih baik lagi selama 12 bulan.

Dana kecemasan perlu disimpan di tempat yang berisiko rendah, mudah dan cepat untuk dicairkan seperti Tabung Haji dan akaun simpanan. Jika kita mempunyai aset tunai melebihi 12 bulan perbelanjaan, ianya boleh dilaburkan di tempat-tempat yang memberi pulangan lebih tinggi seperti saham amanah yang boleh diakses pada bila-bila masa dan mengambil masa yang tidak terlalu panjang untuk dicairkan.

Tanpa dana kecemasan, kehidupan mungkin akan menjadi terlalu sukar semasa ianya diperlukan sehingga mengakibatkan perceraian, bunuh diri dan berbagai-bagai masalah sosial yang lain. Ada juga individu yang hanya mempunyai aset tak alih tetapi tidak mempunyai aset tunai.

Walaupun aset tak alih merupakan salah satu kayu ukur nilai bersih aset seseorang, namun ia tidak menjamin kita boleh menggunakannya untuk membayar keperluan harian atau bulanan jika kita kehilangan punca pendapatan.

Nisbah aset tunai terhadap nilai bersih seseorang mestilah sekurang-kurangnya 50 peratus. Ini bermakna, lebih banyak aset tunai yang dimiliki oleh seseorang, lebih baik keadaan kewangannya. Aset tunai juga tidak dikenakan sebarang cukai dan tidak memerlukan kos selenggara berbanding aset tak alih seperti hartanah.

Antara kesilapan yang dilakukan oleh ahli perniagaan juga adalah tidak menyimpan aset tunai. Semua lebihan tunai digunakan untuk membeli aset lain atau stok. Ini membawa mereka ke dalam krisis kewangan apabila mereka tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa semasa PKP.

Bagi mereka yang tidak terjejas dari segi pendapatan, PKP bukanlah masa untuk berlebih-lebihan dalam berbelanja, terutamanya secara dalam talìan. Dalam pada ramai kalangan masyarakat yang mengalami krisis kewangan, jualan di platform dalam talian menunjukkan rakyat Malaysia sangat suka berbelanja.

Sebagai contoh, Shoppee mencatat jualan sebanyak RM200 juta pada 11.11.2020 dan menjual 12 juta barangan dalam masa 24 minit pertama pada 12.12.2020. Kebanyakan pembelian bukanlah keperluan dan dilakukan hanya semata-mata kerana terdapat diskaun pada tarikh-tarikh tersebut.

Tabiat membeli yang baik ialah membeli barangan yang diperlukan sahaja dan menyimpan lebihan tunai untuk digunakan pada masa hadapan. Simpanan tunai bukan sahaja boleh menyelamatkan wang tersebut daripada habis begitu sahaja, malah nilainya juga boleh ditambah bagi mengatasi kadar inflasi.

Ada juga individu yang menunjukkan corak berbelanja secara panik yang membeli melebihi keperluan sehingga menyusahkan pengguna lain untuk mendapatkan bekalan barangan. Ini menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri yang masih menebal di dalam masyarakat Malaysia.

Alhamdulillah, corak berbelanja seperti ini dilihat telah berkurangan semasa PKP siri terkemudian berbanding apa yang berlaku semasa siri pertama pada Mac 2020.

Kita juga menyaksikan hospital-hospital kerajaan memberi keutamaan kepada pesakit-pesakit Covid-19 dan pesakit-pesakit kritikal sahaja semasa PKP dan pandemik kali ini. Ini kerana kebanyakan hospital kerajaan tidak dapat menampung jumlah pesakit yang terlalu ramai pada musim pandemik.

Adalah sesuatu yang bijak jika kita memiliki kad kesihatan (medical card) sendiri agar kita boleh mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta pada bila-bila masa. Ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak memerlukan perlindungan takaful kesihatan kerana perkhidmatan kesihatan kerajaan sudah memadai. Namun, ramai yang menukar fikiran apabila gagal mendapatkan rawatan di hospital kerajaan semasa PKP.

Penulis adalah Perunding Kewangan Berlesen dan ahli Grup Penulis PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2621 bertarikh 1 Februari 2021


Agen Masjid Tanah Yong Tau Foo segera TEPEN
Hubungi Bahrum : 011-16964842