Oleh : Ibnu Janie
BARU-BARU ini ketika sedang mencari-cari bahan untuk menulis rencana, penulis tiba-tiba terbaca satu catatan di portal Arkib Negara Malaysia dalam ruangan Hari Ini Dalam Sejarah yang menyatakan bahawa mantan Presiden Bursa Malaysia Datuk Mohd Salleh Abdul Majid telah meninggal dunia pada 2 Januari 2012.
Sungguh penulis terkejut kerana tidak menyangka bahawa tokoh besar ini sudah tiada lagi di dunia ini!
Semasa penulis sedang menuntut di UUM Sintok dari tahun 1994 hingga 1999 pada masa itu kebanyakan kami memang didedahkan dengan dunia korporat dan kewangan kerana UUM memang terkenal dengan jolokan ‘universiti pengurusan’.
Penulis sendiri pada masa itu bercita-cita untuk terlibat dengan kerjaya dalam bidang saham samada menjadi remisier atau penganalisis saham sementelahan penulis mengambil ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan dengan pengkhususan bidang kewangan.
Allahyarham Datuk Mohd Salleh Abdul Majid jadi idola
Penulis ingat lagi pada masa itu Allahyarham Datuk Mohd Salleh adalah salah seorang tokoh yang menjadi idola penulis dan ramai pelajar-pelajar lain.
Pada satu ketika, kalau tak silap penulis, dalam tahun 1996, Allahyarham telah dijemput ke UUM bagi memberikan ceramah.
Allahyarham seorang yang sangat ‘humble’. Dari kata-katanya tidak ada pun beliau bersikap membangga diri. Malah ketika beliau mempromosikan sebuah buku karangan beliau yang baru terbit ketika itu beliau berkata :
“Kalau rasa malam tak boleh tidur, boleh baca buku saya tu, insya-Allah cepat tidur.”
Allahyarham dilantik sebagai Pengurus Besar Bursa Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada tahun 1984 semasa baru berumur 34 tahun dan seterusnya dilantik sebagai Presiden pada tahun 1996.
Allahyarham Datuk Mohd Salleh dalam ceramahnya itu menyarankan agar sesiapa yang ingin bermain saham supaya membeli kaunter-kaunter saham yang stabil seperti saham ‘blue chip’. Kemudian simpan saham itu. Jangan hirau apa yang berlaku pada harga saham itu. Perhati kembali harganya hanya selepas dua tahun atau lebih. Biasanya dalam jangka panjang harga sesuatu saham pasti akan naik.
Setiap orang yang bermain saham ini biasanya berbeza mengikut cara dan objektifnya. Ada orang yang merupakan pelabur jangka panjang. Mereka membeli saham-saham yang stabil dan menyimpannya dalam tempoh yang panjang dan mengambil dividen setiap tahun.
Namun dividen saham ini biasanya sangat kecil. Kerana itu turun naik harga saham itu dalam jangka pendek lebih memberikan pulangan berbanding dividen. Kerana itu juga ramai orang lebih suka bermain secara jangka pendek atau spekulasi.
Mereka yang bermain secara spekulasi ini akan mengambil keuntungan dengan menjual saham itu apabila harganya naik dan kemudiannya membeli saham lain dan melakukan proses yang sama untuk kaunter lain.
Tempat mengukur darjah ketamakan manusia
Salah satu kenyataan Allahyarham semasa ceramah itu yang penulis masih ingat sehingga sekarang ialah:
“Bursa saham adalah tempat untuk mengukur darjah ketamakan manusia.”
Memang ada kebenarannya. Sebagai contoh, katalah seorang individu membeli satu kaunter saham pada harga lima puluh sen. Katakanlah pelabur itu menetapkan matlamatnya jika kaunter itu naik pada harga 60 sen dia ingin menjual saham itu.
Namun bila sampai harga 60 sen kadang-kala pelabur itu akan mula berasa bahawa saham itu mungkin akan naik lagi. Jika dijual pada masa itu memang sudah dapat untung sepuluh sen, namun jika dibiarkan lebih lama mungkin ia akan naik lagi, maka lebih banyak lagi untung akan diperolehi. Ketamakan tahap satu.
Katalah saham itu naik kepada 70 sen, ini bermakna keuntungan yang diperolehi kini ialah 20 sen sesaham. Sudah sekali ganda daripada keuntungan asal sebanyak 10 sen tadi. Namun pada tahap ini pelabur tadi mula terfikir jika keuntungannya boleh naik daripada 10 sen kepada 20 sen mungkin ia boleh naik lagi. Kemudian pelabur itu akan mengambil keputusan untuk tidak menjualnya. Ketamakan tahap dua.
Kemudian, katalah selepas itu harga saham itu tiba-tiba jatuh semula kepada 60 sen dan pada masa itu sebenarnya pelabur itu masih boleh menjualnya pada harga 60 sen dan masih boleh mendapat keuntungan 10 sen sesaham. Namun pada masa itu pelabur itu berasa bahawa mungkin saham itu boleh naik semula dan dia boleh mendapat keuntungan lebih tinggi daripada harga itu. Ketamakan tahap tiga.
Katalah selepas itu harga itu jatuh kepada tahap 50 sen iaitu harga asal semasa dia mula-mula membelinya mungkin dia boleh menjualnya semula dan dapat mengelakkan rugi walau pun tiada untung. Namun pada masa itu pula dia meletakkan harapan mungkin saham itu akan naik semula, agar sekurang-kurangnya dia mendapat sedikit keuntungan, jadilah… ketamakan tahap empat.
Katakan tiba-tiba harga saham itu jatuh kepada 40 sen. Mungkin dia boleh menjual saham itu bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar jika harga saham itu jatuh lagi. Namun pada masa ini pelabur ini masih berharap agar saham ini akan naik semula dan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kerugian. Ketamakan tahap lima.
Daripada boleh mendapat keuntungan 20 sen seham, akhirnya menanggung rugi kerana tamak. Inilah perkara yang biasa berlaku pada pelabur. Dan hanya mereka yang pernah terlibat dengan saham sahaja yang faham dengan dilema ini.
Jadi memang benarlah seperti kata Allahyarham Datuk Mohd Salleh Abdul Majid bahawa Bursa Saham ini tempat untuk mengukur darjah ketamakan manusia. Yang membezakannya hanyalah tinggi atau rendah tahap ketamakan itu.
Namun begitu, membaca catatan tentang pemergian tokoh dan idola penulis ini memang sesuatu yang mengejutkan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan jasa-jasanya kepada bangsa dan Negara akan dibalas dengan syurga. Amin ya rabbal alamin.
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka.
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak pada keluaran 15 Januari 2021 |