14 JANUARI 1976 (RABU)
PADA hari ini dalam tahun 1976, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah kembali ke rahmatullah di London pada jam 6.30 petang waktu Malaysia.
Berita mengenai pemergian Allahyarham telah disampaikan oleh Pemangku Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn ke seluruh negara menerusi Radio Televisyen Malaysia.
Allahyarham telah pergi ke London untuk menjalani rawatan akibat penyakit ‘acute leukemia’ yang dihidapinya.
Jenazah Allahyarham telah diterbangkan melalui penerbangan khas Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan kemudianya dibawa ke kediaman Allahyarham di Sri Taman, Kuala Lumpur sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Penglibatan Tun Abdul Razak dalam arena politik bermula sejak menuntut di London lagi, dan bergiat aktif setelah memasuki UMNO dan dilantik sebagai Ketua Pemuda.
Mulai tahun 1951 hingga 1970 Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Timbalan Yang di Pertua UMNO dan menganggotai jemaah kabinet sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1955.
Sesungguhnya pemergian Allahyarham amat dirasai oleh seluruh masyarakat, di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan dalam pembangunan negara, Tun Abdul Razak telah diberi gelaran sebagai Bapa Pembangunan Negara.
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia