Home Artikel PAS Melaka

Banyakkan cawangan aktif dan sebar maklumat – Ustaz Imran

243
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 14 Jan: Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Negeri Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman mengingatkan pimpinan PAS Kawasan khususnya di PAS Kawasan Kota Melaka ini agar memperbanyakkan cawangan aktif.

“Cawangan yang aktif, penting bukan sahaja dalam usaha menyampaikan maklumat tepat, malah sebagai duta PAS mendampingi masyarakat,” katanya

Ustaz Imran berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bagi cawangan-cawangan PAS di Kawasan Kota Melaka di Dewan Japerun Duyong, Semabok, di sini, malam kelmarin.

Majlis ini telah dihadiri oleh kira-kira 70 perwakilan daripada cawangan-cawangan dan ketiga-tiga dewan dalam Kawasan Kota Melaka mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Di dalam ucapannya itu, Ustaz Imran juga mengingatkan sekalian pimpinan serta ahli-ahli PAS untuk terus merapatkan ukhuwah dan saf perjuangan, serta menjaga wala’ dan adab ikhtilaf dalam jemaah.

“Mendahulukan damai dan persaudaraan dalam berpolitik serta mengelakkan pertembungan dan krisis dalam masyarakat.

“PAS kekal dengan pendirian untuk terus mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Bersatu sambil memperkasa kerjasama Muafakat Nasional dengan Umno.” tambahnya sebelum mengakhiri ucapan.

Hadir sama program ini adalah Timbalan Yang Di-pertua PAS Kawasan Kota Melaka, Zuhaidi Yusof berserta AJK PAS Kawasan yang lain, antaranya, Ketua Dewan Pemuda, Zulhilmi Suboh,Ketua Dewan Muslimat, Rohani Hassan, Setiausaha, Abdul Samad Mohd Dahan, Ketua Penerangan, Azmi Aziz, Pengarah JPrK, Ahmad Saidin dan lain-lain.