1. Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua pihak bertenang dan memberi tumpuan menjaga kesihatan diri dan keluarga dari penyakit pandemik yang semakin merebak. Fokus utama kita sekarang ialah bagaimana menurunkan kadar jangkitan awam sebagaimana yang kita lakukan ketika gelombang kedua melanda Malaysia dahulu.
2. Jumaat lepas, jumlah penyakit ini telah menjangkau angka 3 ribu. Jika keadaan berterusan, jumlah boleh menjangkau 8 ribu kes sehari.
3. Mudah untuk kita salahkan pihak kerajaan tidak menangani masalah ini dengan bijak, namun apa yang dapat dilihat kerajaan sentiasa berusaha mengadakan kemudahan untuk rakyat supaya tidak terkesan dengan penyakit ini namun usaha dari kerajaan sahaja tidak cukup jika semua rakyat sambil lewa dalam urusan kehidupan. Selain dari itu, sudah ramai rakyat yang enggan mengikuti SOP yang telah digariskan serta bersikap mementingkan diri sendiri.
4. Kita perlu sedar, banyak negara yang mengalami nasib yang sama dengan kita dalam hal ini. Gelombang ketiga memang tidak dapat dielakkan kerana seluruh dunia masih lagi dihambat oleh masalah yang sama. Sudah 17 negara mempunyai lebih daripada sejuta pesakit positif covid.
5. Selain itu, bantulah kerajaan untuk fokus membangunkan kembali negara akibat kesan pandemik ini. Kita perlu sedar, penyakit ini bukan sahaja menyebabkan kesihatan rakyat dalam bahaya namun ia memberi kesan juga pada ekonomi dan sistem sosial negara.
6. Berhentilah beretorik dan berpolitik dalam tempoh ini. Sesungguhnya sekarang bukan masa yang bijak menyebut tentang kuasa dan survival politik. Ini masanya semua ahli politik bertukar menjadi negarawan. Bertenang dan tunjukkan contoh yang baik. Beri masa pada kerajaan sedia ada untuk berusaha melawan pandemik ini . Jika asakan terus dilakukan, kerajaan sedia ada menjadi kelam kabut dan membazir masa mereka melayan kerenah sebahagian pemimpin poltik sedangkan rakyat sangat memerlukan kita. Tidak ada keperluan untuk mendesak diadakan pilihanraya dengan keadaan rakyat sedang susah tambahan dengan banjir yang melanda di negeri-negeri pantai timur dan selatan.
8. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkannya untuk disakiti. Siapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan membantu keperluannya. Siapa yang menghilangkan satu kesusahan seorang Muslim, maka Allah menghilangkan satu kesusahan baginya daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang Muslim maka Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat”.
9. Sesungguhnya, Dewan Muslimat amat mengharapkan semua pihak merasakan usaha menangani penyakit Covid dan kesusahan yang kita tanggung sekarang adalah tanggungjawab kita bersama. Carilah jalan untuk membantu dan meringankan beban rakyat. Semoga kita semua sentiasa bersama bahu membahu untuk keluar dari semua masalah ini.
#IslamMemimpin
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#IslamMemimpinWanitaSejahtera
YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA
10 Januari 2021 | 26 Jamadilakhir 1441H