Home Berita PAS Melaka

Banjir Johor : Khidmat Malaysia Kulai lincah beraksi

588
SHARE

Oleh : Abu Hadif

KULAI, 7 Jan : Pasca banjir yang melanda beberapa tempat di Kulai baru-baru ini telah mendapat perhatian penuh daripada Ketua Khidmat Malaysia (KM) Kulai, Hamdan Astopa untuk menggerakkan jenteranya dengan menyusun atur tenaga dan sumber kewangan bagi membantu para penduduk yang menjadi mangsa banjir.

Menurut Hamdan, jenteranya telah disusun dengan gabungan penyertaan daripada anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kulai, Briged Muslimat dan Ameerah Muslimat PAS Kawasan Kulai, pimpinan dan AJK PAS Kulai serta Pemuda Pas Kulai dan Badan NGO Kulai Prihatin.

Tambah beliau, berikutan banjir yang melanda Sabtu lepas, seramai 583 mangsa di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) daerah Kulai telah pun kembali ke rumah masing-masing setelah air banjir surut.

Kata beliau lagi, pada masa ini tumpuan gerakerja adalah pada pembersihan rumah-rumah mangsa banjir dalam kalangan warga emas, OKU dan ibu tunggal yang terlibat sedang dilaksanakan dengan mensasarkan kawasan sekitar Bukit Batu dan Murni Jaya yang mana difahamkan keadaan agak teruk dilanda banjir di kawasan tersebut.

“Melalui pasukan KM Kulai juga, selain sokongan moral dan bantuan kewangan, pelbagai sumbangan barangan keperluan juga telah pun disumbangkan sepanjang tempoh operasi ini kepada mangsa-mangsa banjir di sini,” kata beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semalam.

KM Kulai menyasarkan sumbangan sebanyak RM5000 bagi disalurkan kepada mangsa banjir.

Sumbangan dibuka kepada sesiapa yang ingin membantu dengan menyalurkan terus sumbangan ke akaun PAS Kawasan Kulai seperti berikut: Maybank 551100701033 atas nama PAS Kawasan Kulai.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), daerah Kulai adalah antara kawasan di negeri Johor yang terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini melibatkan mukin Senai, Sedenak dan Bukit Batu dengan lima buah PPS telah ditutup hari ini setelah menerima seramai 583 orang mangsa sebelum ini.

Laporan disediakan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) yang sedang membuat liputan banjir di Johor.