Home Berita PAS Wilayah

Politik Khidmat Bakti Amalan Tradisi PAS Batu – Ustaz Azhar Yahya

327
SHARE

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah
6 Januari 2021

BATU : Politik khidmat bakti tanpa mengira bangsa dan agama terhadap penduduk setempat adalah amalan tradisi PAS di Parlimen Batu.

Demikian tegas Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya dalam program bertemu masyarakat dan menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan di Taman Intan Baiduri, baru-baru ini.

“Sejak dari sebelum menjadi kerajaan, PAS sentiasa memberi bantuan kepada penduduk yang memerlukan dan tidak akan sesekali kita menyebut tentang ketiadaan duit dalam apa juga keadaan sekalipun.

Apabila PAS diberi peluang untuk turut sama mentadbir kerajaan hari ini, wakil-wakil PAS melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bagi Parlimen Batu khususnya, semakin proaktif dalam menggiatkan lagi program-program penyerahan bantuan kepada penduduk setempat,” ujar beliau.

Selaku Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ustaz Azhar Yahya turut berkongsi usaha-usaha murni yang telah dijalankan di bawah kepimpinan Tan Sri Anuar Musa selaku Menteri Wilayah Persekutuan.

“Kebajikan rakyat ketika pandemik Covid-19 ini jelas diberi perhatian khusus oleh pihak berkuasa dengan pelancaran Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga bermula November 2020 yang lalu.

Peruntukan Belanjawan 2021 bagi kebajikan sosial di Wilayah Persekutuan juga turut ditambah dengan dana untuk sektor pembangunan infrastruktur telah dikurangkan kerana keutamaan masa kini adalah untuk kebajikan rakyat,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa ibu kota yang pesat membangun ini seharusnya turut membangunkan jiwa-jiwa penduduknya dengan nilai-nilai Islam.

Usaha membina masyarakat sejahtera yang subur dengan nilai-nilai Islam dan kembali kepada Allah SWT akan sentiasa diteruskan oleh PAS di Parlimen Batu.

“Golongan minoriti bukan Islam di Parlimen Batu tidak perlu khuatir dengan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Lihat sahaja bagaimana negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS turut memberikan peruntukan kepada rumah-rumah ibadah agama lain di sana.

Bahkan setelah PAS memerintah Kelantan selama 30 tahun, rakyat bukan Islam tetap hidup aman damai dan bebas mengamalkan agama mereka di negeri tersebut.

Pembangunan insani sebegini mampu mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang lebih sejahtera di samping mengurangkan masalah sosial dari berleluasa,” tambah beliau lagi.

Dalam program tersebut Ustaz Azhar telah menyampaikan sumbangan barang keperluan harian yang ditaja oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada hampir 20 keluarga yang kurang bernasib baik dari PPR Taman Intan Baiduri.

Program penyampaian sumbangan itu juga telah menjadi ruang diskusi bersama para penduduk yang hadir di mana beberapa permasalahan seperti isu dadah dan vandalism serta permintaan terhadap usaha dakwah bagi belia tempatan telah ditimbulkan untuk diambil perhatian dan tindakan oleh pemimpin setempat.

Penerangan tentang peranan MPP yang berfungsi untuk memantau kebajikan penduduk di Parlimen Batu secara lebih berfokus turut dijelaskan dalam program yang sama.

Turut hadir dalam program tersebut adalah ahli jawatankuasa MPP Sub Zon 5 dan Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri.