Oleh : Ibnatdeen
HANG TUAH JAYA, 23 Dis: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK ) PAS Negeri Melaka telah mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka (JKM), di sini semalam.
Dalam kunjung hormat tersebut, delegasi PAS Negeri Melaka yang diketuai oleh Ketua LKK PAS Melaka, Mokhsin Ibrahim turut disertai oleh 10 orang lagi ahli jawatankuasanya yang terdiri daripada Ketua-ketua (LKK) Kawasan dan Dewan Muslimat.
Kunjungan delegasi ini telah disambut baik oleh Pengarah JKM Negeri Melaka, Burhanudin Bachik dan pegawai pegawainya di pejabat JKM Melaka yang bertempat di Kota Cemerlang.
Menurut Mokhsin, kunjung hormat tersebut diadakan bertujuan untuk memahami ruang lingkup fungsi dan peranan JKM terhadap masyarakat sekaligus membuka ruang untuk kerjasama yang dapat diusahakan PAS di tengah-tengah masyarakat.
Sesi kunjung hormat yang berlangsung selama hampir dua jam tersebut dimulai dengan taklimat daripada pihak JKM serta sesi soal jawab dan perbincangan dua hala antara pihak PAS dan JKM.