Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 98 kes positif baharu, rekod tertinggi!!

618
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 17 Dis : Melaka mencatat rekod kes positif baharu Covid-19 tertinggi semenjak wabak ini mula merebak iaitu sebanyak 98 kes dikesan hari ini seperti dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Mengikut laporan tersebut kesemua 98 kes itu dikesan di Mukim Jasin (Daerah Jasin) daripada Kluster Jalan Harapan, saringan Pusat Koreksional Jasin, kes jangkitan tempatan.

Tambah laporan itu lagi sebanyak 152 kes masih dirawat di Hospital Melaka, dan tiada kes ICU atau kes sembuh baharu dilaporkan untuk hari ini.

Laporan itu juga menyatakan dua mukim kembali hijau iaitu mukim Klebang Kechil dan Selandar.

Tujuh mukim dikategorikan sebagai zon kuning hari ini iaitu mukim Machap (2 kes), Sungai Baru Ulu (1 kes), Batu Berendam (1 kes), Bukit Piatu (3 kes), Kandang (4 kes), Tanjung Minyak (5 kes), dan Sebatu (2 kes) manakala mukim Jasin (106 kes) satu-satunya mukim yang dikategorikan sebagai zon merah, kata laporan itu.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1220 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 368 kes dan diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 297 kes.

Laporan itu juga menyatakan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.