Home Berita PAS Melaka

Melaka indah : Asal usul nama Masjid Tanah

3640
SHARE

Oleh: Sumayyah Ahmad

MULA-MULA berhijrah ke Masjid Tanah, perkara pertama yang menimbulkan persoalan kepada saya ialah mengenai keunikan namanya, iaitu, mengapa tempat ini dinamakan ‘Masjid Tanah’? Adakah terdapat masjid yang diperbuat daripada tanah?

Begitu tepat sangkaan saya, setelah melakukan carian, saya dapati tempat ini dinamakan sedemikian kerana terdapatnya sebuah masjid yang diperbuat daripada tanah liat, ianya agak janggal bagi saya, namun sangat mengujakan untuk dibuat sedikit kajian.

Masjid ini terdapat di Daerah Alor Gajah, Negeri Melaka ‘Darul Azim’, dan bertempat di sebelah sungai berhampiran simpang lampu isyarat jam besar Masjid Tanah.

Pertama kali saya menjejakkan kaki di sini, sebenarnya saya tidak perasan akan kewujudannya kerana ianya agak terlindung dengan bangunan kedai yang lain.

Masjid ini dibina pada tahun 1900an, (terdapat juga dakwaan mengatakan ianya dibina pada tahun 1800 an) oleh seorang syeikh yang berasal dari Gujerat, India dan dibantu oleh Haji Sulong Sibeng iaitu penduduk tempatan yang turut sama membantu membangunkannya.

Waktu dahulu masjid ini dihadiri oleh penduduk Kampung Tengah, Kampung Durian Daun dan beberapa kampung lain untuk mendirikan solat lima waktu sebelum terbinanya masjid di kawasan masing-masing.

Namun kini masjid ini menjadi masjid persinggahan sahaja setelah terdapat Masjid Jamek Masjid Tanah yang kini dikenali sebagai Masjid Sultan Abdullah yang mana keluasannya yang sesuai dengan penduduk yang semakin padat di kawasan pekan yang semakin membangun.

Saya begitu teruja dapat melihat sendiri kesan sejarah ‘Masjid Tanah’ yang dipaparkan secara mata kasar pada bahagian dinding dalam masjid, bersebelahan dengan pintu utama, iaitu dinding masjid yang diperbuat daripada tanah.

Ciri-ciri senibina Masjid Tanah juga adalah hampir sama dengan ciri-ciri yang terdapat pada hampir keseluruhan bangunan masjid-masjid warisan yang sedia ada di Melaka, iaitu berbumbung meru, di puncaknya terdapat mahkota, memiliki sulur bayur hiasan pada bahagian hujung bumbung masjid, terdapat empat tiang seri, dan mempunyai mihrab di bahagian dalam masjid, serta menggunakan sistem kolah.

Namun begitu, masa terus berputar, dan khazanah harus dipelihara, justeru pada tarikh 10 September 1951, masjid ini telah dibaik pulih bagi memastikan ianya kekal tersergam indah untuk generasi yang akan datang.

Selain itu, masjid ini telah didaftarkan sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara, di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Saya merenung masjid ini lama, di sinilah tapak nenek moyang kita dahulu berpijak, membina rumah Allah dengan apa adanya sewaktu zaman mereka dahulu, mengimarahkannya dan meninggalkan kesan sejarah yang mempunyai nilai yang besar pada kita generasi kini.

Masjid ini menjadi bukti cintanya nenek moyang kita dahulu terhadap Islam, seolah-olah mereka berkata, “Wahai cucuku, kami mungkin tidak moden dalam seni bina masjid ini, tetapi kami berusaha mencapai reda Allah dengan mengimarahkannya dan meninggalkan contoh yang terbaik buat kalian.

“Tiba masa kalian, semoden apa pun seni bina masjid itu, imarahkanlah ia sebagai bukti, kita hidup pada zaman berbeza, namun mempunyai matlamat yang sama iaitu mencapai redaNya”.

Penulis adalah Wartawan Rakyat Melaka (WARM)



Wartawan Rakyat Melaka (WARM)