Home Artikel PAS Melaka

Ziarah MOSWA : Kebajikan agenda utama PAS Melaka – Mohsin

346
SHARE

Oleh : Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 30 Nov : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Melaka akan terus menjadikan agenda kebajikan sebagai keutamaannya apatah lagi kini bersama-sama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) menerajui Kerajaan Negeri Melaka, kata Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Negeri Melaka, Mohsin Ibrahim.

Tambah beliau, menerusi program MOSWA (Miskin, Orang kelainan upaya (OKU), Sakit, Wanita dan Armalah) anjuran LKK PAS Negeri Melaka bersama NGO Pertubuhan Kebajikan dan Amal Melaka serta LKK PAS Kawasan Kota Melaka telah mengadakan ziarah mahabbah kepada golongan itu ke rumah sepuluh buah keluarga yang terpilih di Semabok, Telok Mas dan Padang Temu di sini semalam.

“Antara yang diziarahi adalah ibu tunggal yang bekerja sendiri terpaksa memerah kudrat dan keringat membesarkan empat orang anaknya bagi memastikan mereka mempunyai pembelajaran yang baik bagi mengubah nasib keluarga.

“Selain itu kita juga menziarahi seorang warga emas pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang merupakan seorang pesakit strok di mana turut mempunyai seorang anak OKU yang terlantar akibat kemalangan jalan raya,” ujar beliau.

Rombongan juga singgah di rumah pesakit saraf yang juga menjadi mangsa banjir berikut hujan lebat yang berterusan baru-baru ini.

Menurut Mohsin, ziarah ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan LKK PAS Negeri Melaka ke kawasan-Kawasan dan sepuluh buah keluarga telah diziarahi kali ini kebanyakannya mempunyai kehidupan yang dhaif.

Mengulas ziarah tersebut, Ketua LKK PAS Kawasan Kota Melaka, Salawati Alin berkata, ziarah ini adalah merupakan agenda utama parti untuk lebih dekat dengan masyarakat dan PAS Kota Melaka turut memberi sumbangan berbentuk keperluan asas dapur seperti gula, beras, minyak dan lain-lain.

Turut hadir dalam ziarah semalam ialah wakil LKK PAS Negeri Melaka, Azman Md Noh, YDP PAS Kawasan Kota Melaka Abdul Ghapar Abd Wahab bersama-sama AJK PAS Kawasan yang lain, antaranya Pemangku Ketua Dewan Muslimat, Rohani Hassan dan ahli jawatankuasa lain.



Wartawan Rakyat Melaka (WARM)