Kenyataan media YDP PAS Kawasan Kota Melaka
SAYA memanjatkan syukur juga tahniah kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas kelulusan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) dan kegagalan pihak pembangkang mengumpulkan 15 sokongan bagi membuat undian belah bahagi menjadi petanda betapa berpecahnya mereka apabila disabotaj sesama sendiri.
Cubaan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mahu pengundian dibuat secara belah bahagi tidak kesampaian apabila cadangan itu gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen seperti disyaratkan.
Ramai antara kita, termasuk saya sendiri, yang merasa lega apabila Bajet 2021 telah diluluskan di peringkat dasar semalam dengan suara majoriti.
Setelah berdegar-degar Pakatan Harapan (PH) menyatakan akan menolaknya sebagai simbol penolakan ke atas Perdana Menteri tiba-tiba saja mereka senyap.
Terdiamnya mereka mungkin kerana tidak menyangka kerajaan boleh bersikap bertoleransi ke atas teguran dan sanggup membuat penambahbaikan di saat akhir ke atas Bajet 2021 ini.
Pujian juga wajar diberikan kepada Umno dan PAS yang tegar menegur juga menyokong.
Ini adalah kemenangan buat rakyat.
HJ ABDUL GHAPAR BIN ABDUL WAHAB
Yang Dipertua PAS
Kawasan Kota Melaka