Home Berita PAS Melaka

Kolumnis : Pendaftaran kanak-kanak OKU masih rendah

995
SHARE

 

Oleh : Aziah Md Saad

BERDASARKAN daripada statistik kategori OKU pada Jun 2019, yang diunjurkan oleh WHO, terdapat 15 peratus populasi tergolong dalam golongan OKU. Ini bermakna daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang ini, secara kasarnya 4.9 juta orang adalah dalam golongan OKU.

Pembentangan Oleh Dr Zulkifli Abdul Rahim pada Hari Kebajikan Kelantan 2020

Namun, jumlah yang berdaftar sekitar tidak sampai dua peratus daripada penduduk Malaysia. Kegagalan mendaftarkan OKU terutama bermula dengan kanak-kanak mengakibatkan pihak kerajaan tidak dapat menyediakan belanjawan yang lengkap untuk keperluan OKU amnya dan kanak-kanak OKU khasnya.

Teguran Allah terhadap Rasulullah adalah peringatan buat kita.

Surah ‘Abasa ayat 1 – 11 yang bermaksud;

“Ia memasamkan muka dan berpaling”.(1)

“Kerana ia didatangi orang buta”.(2)

“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)”. (3)

“Ataupun ia mahu mendapatkan peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya”(4)

“Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran).”(5)

“Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya”(6).

“Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya(dari keingkarannya)”(7)

“Adapun orang yang segera datang kepadamu” (8).

“Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Alllah)”(9)

“Maka engaku berlengah-lengah melayaninya.” (10)

“Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi)” (11).

Rasulullah SAW ditegur oleh Allah SWT dalam surah ini disebabkan Rasulullah SAW berpaling pada seorang buta iaitu OKU yang ingin membersihkan dirinya.

Surah ini mengangkat OKU yang merupakan salah seorang ahli masyarakat yang tidak boleh dipinggirkan. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk ‘PEDULI OKU’.

Mengapakah kanak-kanak OKU tidak didaftarkan?

Kita amat memahami kekangan yang dihadapi oleh ibu bapa, penjaga, guru dan masyarakat untuk daftarkan kanak-kanak OKU.

Berikut adalah di antara permasalahan yang perlu diselesaikan dengan kadar segera.

1. Malu pada jiran tetangga jika mengetahui mereka ada kanak-kanak OKU di rumah mereka sehingga kanak-kanak OKU dikurung di rumah tanpa mendapatkan pendidikan formal di taska dan sekolah atau komuniti.

2. Masyarakat memandang rendah pada keluarga yang mempunyai kanak-kanak OKU dan ada yang meminta kanak-kanak OKU tidak perlu bercampur dengan kanak-kanak normal. Masyarakat yang tidak bersimpati dan tidak mempunyai empati dalam memberi sokongan pada keluarga tersebut.

3. Sukarelawan di kalangan orang Melayu terlalu kurang dalam mengambil cakna OKU terutama di kawasan-kawasan pendalaman.

4. Masyarakat tidak dididik secara berkala untuk mengenali kanak-kanak OKU kecuali sambutan-sambutan sempena Hari OKU, Hari Autism, Hari Down Sydrome dan sebagainya.

5. Ada juga ibu bapa yang berada yang merasakan cukup hanya mereka saja yang mendidik kanak-kanak OKU itu di rumah tanpa memikirkan bahawa usia mereka sudah semakin lanjut.

Langkah-langkah penambahbaikan kanak-kanak OKU

1. Kanak-kanak OKU sudah seharusnya diberikan pendidikan OKU, berdikari, yang boleh uruskan diri mereka, boleh bersosial dengan orang lain dan yang paling penting kanak-kanak OKU diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat setempat.

2. Kerjasama di antara agensi kerajaan dan swasta perlu diperkukuhkan agar usaha mengupayakan OKU dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Janganlah masing-masing merasakan kategori OKU mereka lebih penting daripada yang lain.

3. Ibu bapa, penjaga kanak-kanak OKU perlukan teknik-teknik pengurusan dalam pelbagai kategori, agar kanak-kanak OKU boleh dipercepatkan untuk menjalani kehidupan yang lebih sempurna.

4. Perbanyakkan penulisan-penulisan mengikut kategori OKU untuk memberi panduan memperbaiki kanak-kanak OKU dari semasa ke semasa.

5. Perbanyakkan taska-taska khas untuk kanak-kanak OKU agar memberi peluang kepada enam perkembangan asas kanak-kanak.

Penulis adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, pesara guru pendidikan khas dan ahli Grup Penulis PAS Melaka (GPPM).

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)