Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi : Ciri-ciri jemaah Islam

9257
SHARE

SEBAGAIMANA yang kita fahami, bekerja untuk Islam secara berjemaah adalah salah satu kewajipan seluruh umat Islam. Namun masalah mula timbul apabila kita berada di alam realiti apabila jemaah-jemaah Islam di luar sana terlalu banyak sehingga menyebabkan kita keliru untuk memilih jemaah mana yang wajib disertai.

Adalah paling bahaya apabila kita tersilap menyertai jemaah yang daripadanya musuh Islam. Oleh yang demikian, kita perlu mengenali sifat-sifat jemaah Islam sebenar berpandukan Al Quran dan Sunnah seperti berikut:-

1) Asli

– Ditubuhkan untuk menggalas tanggungjawab kefarduan berdakwah dan bukan ditubuhkan akibat tidak puas hati dengan jemaah Islam yang sedia ada.

2) Rabbani

-Menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan dan matlamat utamanya adalah keredaan Allah

3) Jihadi

– Bercita-cita menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini

4) Sistematik

– Dipimpin secara tersusun mengikut hierarki jawatan dengan mentaati kepimpinan yang terlantik mengikut prioriti jawatan mereka.

5) Terbuka

– Keanggotaan menyeluruh kepada sesiapa sahaja yang mampu untuk mengikut tatacara berjemaah dan tidak kepada golongan tertentu sahaja.

6) Inklusif

– Menyasarkan dakwah kepada seluruh lapisan masyarakat baik kaya atau miskin, berpelajaran mahupun tidak dan tidak bersikap selektif.

7) Menyeluruh

– Merangkumi seluruh aspek kehidupan yang tidak hanya terhad pada satu aspek sahaja.

8) Thubut

– Bersikap teguh, fundamental dan tidak mengubah dasar Islam sesuka hati walaupun kepimpinan, organisasi dan strategi bertukar ganti.

9) Murunah

– Bersifat fleksibel dan progresif. Sentiasa memperbaharui pendekatan selari dengan peredaran masa.

Oleh itu, kesemua ciri yang disebut perlulah ada pada sesebuah jemaah Islam tanpa sebarang pengecualian melainkan sekiranya suasana di tempat jemaah tersebut berada.

Jemaah Islam yang tidak menepati ciri-cirinya:

1) Politik

– Gerak kerja mereka hanya tertumpu untuk menang dalam pilihan raya walau apa cara sekalipun. Kadang-kadang ada yang menghalalkan apa yang ditegah dalam Islam.

2) Dakwah fardi

– Percaya bahawa Islam hanya akan tertegak dengan berdakwah mengikut cara nabi dahulu iaitu pintu rumah ke rumah dan mengajak manusia kembali ke jalan yang benar.

3) Sufi

– Menurut mereka, Islam akan tertegak dengan sendiri jika orang Islam menumpukan hanya soal pembersihan jiwa daripada sebarang perkara dunia.

4) Kebajikan

– Hanya dengan membantu manusia yang memerlukan akan menyebabkan kebaikan Islam tersebar sendiri lalu diterima seadanya.

5) Pendidikan

– Menjurus ke arah pemerkasaan pengetahuan Islam semata-mata. Mereka hanya menumpukan untuk membina madrasah, pusat pengajian agama, sekolah dan sebagainya. Bagi mereka, dengan berterusan memberikan pemahaman Islam, orang akan menerima dan Islam akan tertegak dengan mudah.

6) Peperangan

– Islam tidak tertegak kecuali dengan mata pedang. Inilah yang menjadi motto perjuangan mereka.

Justeru itu, setelah mengetahui ciri-ciri jemaah yang dikehendaki, kita wajib melibatkan diri kita dalam jemaah yang menepati ciri-ciri tersebut.

Nasihat saya kepada anak-anak muda khususnya, jangan hanya bersemangat dalam menyertai sesebuah jemaah tanpa memerhati ciri-ciri yang digariskan dalam Islam kerana dibimbangi menyertai gerakan yang dipimpin oleh musuh Islam tanpa kita sedar.

Dan diingatkan juga, jangan pula kita berseorangan dalam melaksanakan kerja dakwah, sebaliknya intima’ bersama jemaah Islam yang betul.

Moga bermanfaat!

Rujukan: Nadi Perjuangan (bil.10)

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
• Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah

Sumber : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka.