Oleh : Abu Harith
“SAYA dah buat macam-macam kepada dia, tapi sikit pun dia tak pernah ucapkan terima kasih dengan apa yang telah saya buat…” Adu seseorang tentang perangai pasangannya.
Benar, inilah realiti yang harus kita terima bahawa ada sesetengah manusia yang susah untuk berterima kasih. Berat mulutnya untuk melafazkan dua perkataan tersebut atas kebaikan yang telah diterima.
Apa yang mudah, terima sahaja pemberian orang kepadanya kemudian berlalu pergi begitu sahaja. Sedikit pun tidak terdetik untuk menyatakan penghargaan kepada orang yang telah berbakti kepadanya. Itulah manusia sebenarnya.
Jika diharapkan ucapan terima kasih daripada mereka, pasti sakit jiwa dibuatnya. Jiwa yang sakit akan membuahkan dendam, rasa tidak berpuas hati dan akhirnya diri sendiri juga yang menanggung derita.
Seperti yang ditulis oleh Dale Carnegie dalam bukunya, “Win Friends and Influence People” menyatakan bahawa, “Sudah menjadi lumrah, memang ada manusia yang tidak mengenang budi. Oleh yang demikian, apabila kita terlalu mengharapkan ucapan terima kasih, kita pasti mengalami sakit kepala”. Perit bukan?!
Mari kita merenung satu hadis daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”
Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954).
Imam al-Khattabi berkata: Hadis ini ditafsirkan dengan dua makna iaitu, “Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya”.
Manakala tafsiran yang kedua pula, “Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya, jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka” (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/113).
Jelas sekarang ini, berterima kasih kepada manusia itu sebagai tanda syukur kita kepada Allah SWT. Jadi ucapkanlah lafaz keramat ini sebagai menzahirkan perasaan kita kepada orang yang telah berbuat kebaikan. Sesungguhnya, kita sedar bahawa setiap apa yang berlaku itu atas keizinan Allah SWT untuk ianya berlaku.
Dan lafaz syukur itulah yang kita inginkan, tanda kita hamba-NYA yang lemah. Tidak mustahil, dengan penghargaan terima kasih yang diucapkan ini, sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat kepada orang tersebut untuk terus berbuat kebaikan. Cubalah!
Yakinlah dengan ganjaran yang akan dibalas oleh Allah SWT kepada kita. Pastinya setiap kebaikan yang dibuat, walaupun sedikit, akan mendapat balasan yang sewajarnya daripada-NYA. Semua itu tidak akan terlepas daripada perhatian dan perhitungan Allah SWT. Inilah ganjaran sebenarnya yang kita dambakan. Cubalah untuk ikhlaskan hati sepenuhnya dalam setiap apa yang kita lakukan. Bukan sanjungan dan penghargaan manusia yang kita nantikan. Cukuplah Allah SWT sahaja yang membalas segala kebaikan kita.
Firman Allah SWT, maksudnya.
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
-Surah al-Zalzalah, Ayat 7
Penulis merupakan seorang Kaunselor Berdaftar