Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi : Amal jamaie

6225
SHARE

Pengertian

AMAL bermaksud kerja dan jamaie bermaksud secara berkumpulan. Amal jamaie yang dimaksudkan ialah kerja-kerja berkumpulan dalam jemaah Islam yang dilakukan untuk tujuan memartabatkan Islam secara berorganisasi, sistematik dan strategik.


Dalil amal jamaie

a) Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” – Surah Ali Imran, ayat 104

b) Allah SWT berfirman dalam surah As-Soff ayat ke-4 :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ (4)

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

c) Firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat ke-2 yang menegaskan perkara ini :

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (2)

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

d) Hadith Rasulullah bermaksud:

“Hendaklah kamu berjemaah, sesungguhnya jemaah itu rahmat, dan berpecah itu azab.”

HR ABU DAUD


Kepentingan berjemaah

1) Mengumpul kekuatan

– Bekerja secara berkumpulan lebih kuat dan hebat hasilnya berbanding kerja secara bersendirian

2) Semua orang boleh berkhidmat untuk Islam

– Bakat dan kemahiran manusia tidak sama. Bukan semua orang pandai berceramah. Ada juga yang pandai menulis, mengurus, menjahit dan sebagainya. Dengan berjemaah, semua tenaga ini boleh digunakan untuk membantu gerak kerja Islam.

3) Menjaga diri daripada terbabas

– Berada dalam jemaah sentiasa menjaga diri daripada tersesat kerana teman sekeliling dalam kalangan ahli jemaah yang baik akan sentiasa menasihat dan membimbing ke arah yang benar.

4) Meluaskan dakwah Islam

– Dengan sebuah jemaah, pemimpin mampu menyusun tenaga untuk dibahagikan ke tempat-tempat tertentu yang belum sampai dakwah Islam. Jika tidak, tentu ada tempat yang terlebih pendakwah dan ada tempat yang tidak sampai langsung dakwah Islam.


Bahaya tidak berjemaah

1) Tanpa teman-teman dalam jemaah, kita akan mudah ditipu oleh syaitan dan musuh. Apabila berjemaah, mereka yang berada di sekeliling kita khususnya rakan-rakan dalam jemaah akan membantu, menegur, menasihat jika sekiranya kita terleka.

2) Mereka yang tidak berjemaah dan tidak mentaati ketuanya, ia dikira mati seperti orang jahiliyyah yang sesat.

Sabda Rasulullah saw:

Maksudnya: “Barangsiapa mati dalam keadaan tiada berbaiah, maka ia dikira mati seperti orang jahiliyyah.”

HR Bukhari dan Muslim

3) Dengan fitnah dan tipu daya di akhir zaman ini, mereka yang tidak berjemaah akan mudah sesat dalam memilih kebenaran. Jika kita lihat hari ini munculnya kumpulan-kumpulan yang pelbagai serta mendakwa mereka betul dan salah sehingga berperang sesama sendiri. Nauzubillah!

Justeru itu, adalah diwajibkan untuk kita melibatkan diri kita bersama jemaah bertujuan memartabatkan Islam secara berorganisasi dan lebih tersusun. Jangan sesekali kita melakukan gerak kerja Islam ini secara berseorangan kerana kelak ia akan menyebabkan seseorang itu mudah futur dan jatuh. Moga kita yang dipilih oleh Allah sebagai penyokong dan pendokong jemaah Islam dapat bekerja mengikut posisi yang betul serta terus istiqamah sehingga tertegaknya agama Islam di negara Malaysia ini.

Moga bermanfaat!

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
• Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
• Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
• YDP PAS Masjid Tanah

Rujukan: Nadi Perjuangan (BIL.9)

Kredit sumber : Facebook Dewan Ulamak PAS Melaka.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)