Oleh: Shawal Ahmad
KOTA MELAKA, 13 Nov : Program Ziarah kebajikan sudah menjadi kemestian kepada PAS Kawasan Kota Melaka secara berkala setiap minggu dan ini antara cara untuk membantu, memberitahu dan menunjukkan rasa kasih bukan hanya kepada ahli, tetapi sesiapa sahaja golongan yang memerlukan, kata Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Kota Melaka, Salawati Alin.
“Aktiviti seumpama ini juga mampu memperingatkan diri bahawa rezeki, qada’ dan qadar itu adalah hak Allah. Insya-Allah akan ada insan mulia infak wang ringgit demi meringankan beban,” ujar beliau.
Menerusi program Ziarah Kebajikan anjuran LKK PAS Kawasan Kota Melaka ini, beberapa orang wakil PAS Cawangan Durian Daun diketuai oleh beliau sendiri sebagai ketua lajnah itu bersama Abdul Aziz Mamat, telah menziarahi pesakit kronik, warga emas dan ibu tunggal di kediaman masing-masing di Durian Daun pada pagi tadi dengan harapan membantu meringankan beban kesulitan ditanggung mereka.
Bersempena ziarah berkenaan, Salawati turut menghulurkan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan harian serta wang tunai daripada LKK PAS Kota Melaka bagi meringankan beban yang ditanggung.
Pihak LKK juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada golongan yang bermurah hati agar dapat menampung kos pembelian barang dapur bagi program ziarah berkala mingguan PAS Kawasan Kota Melaka.
Mereka yang ingin menyumbang bagi menjayakan misi murni ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB – 860 116 3036 atas nama PAS KAWASAN KOTA MELAKA.