Home Berita PAS Melaka

Ibu tunggal hidapi pelbagai penyakit kronik terharu dibantu PAS Kota Melaka

661
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

KOTA MELAKA, 13 Nov: Rasa terharu menyelubungi hati seorang ibu tunggal yang menghidapi pelbagai penyakit kronik apabila penderitaan yang terpaksa ditanggung beliau mendapat perhatian dan dibantu PAS Kawasan Kota Melaka.

Hamidah Abdul Bari, 49, yang disahkan menghidapi sakit jantung, kencing manis yang menyebabkan kedua matanya kabur selain penyakit buah pinggang, kini bersendirian menjaga empat orang anaknya yang kesemuanya juga menderita penyakit buah pinggang, kencing manis, bengkak hati.

Menurut Hamidah, seorang daripada anaknya pula menghidapi penyakit kronik auto imun (SLE), semuanya terpaksa dilakukannya tanpa sokongan daripada seorang suami kerana arwah suaminya yang telah meninggal dunia dua tahun lepas juga menderita penyakit yang sama.

Terhimpit dengan beban kewangan, ibu kepada empat orang anak itu mengakui turut bergantung kepada bantuan ihsan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebanyak RM250 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 bagi menampung kos rawatan dan perbelanjaan harian.

Tambah Hamidah, kehidupan keluarganya ini yang agak susah disulitkan lagi dengan ujian kesihatan dideritai daripada penyakit kronik dihadapi sehingga hilang upaya fizikal disebabkan oleh kencing manis, namun banyak dibantu anak sulung menguruskannya.

Menerusi program Ziarah Kebajikan anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Kota Melaka, beberapa orang wakil PAS Cawangan Durian Daun diketuai ketua lajnahnya Salawati Alin dan Abdul Aziz Mamat, telah menziarahi ibu tunggal berkenaan di kediamannya di Durian Daun pada pagi tadi.

Selain hadir memberi sokongan moral bersempena ziarah berkenaan, Salawati turut menghulurkan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Kawasan Kota Melaka kepada beliau bagi meringankan beban yang ditanggung.

LKK Kawasan Kota Melaka turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai dan sumbangan bolehlah dibuat menerusi akaun CIMB – ‪860 116 3036‬ atas nama PAS KAWASAN KOTA MELAKA.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)