Tazkirah Ramadhan Siri 9/1438H
Tadabbur Al Quran Juzuk 9: Surah Al-A’raf: Ayat 88-90
Terjemahannya:
” Pemuka- pemuka yang menyombongkan diri dari kaum Syu’aib berkata, ” wahai Syu’aib pasti kami usir engkau bersama-sama orang – orang yang beriman dari negeri kami, kecuali engkau beriman kepada agama kami.” Syuib berkata, “Apakah (engkau mengusir kami), sedangkan kami tidak suka? (ayat 88)
Sungguh, kami telah mengadakan kebohongan yg besar terhadap Allah, jika kami kembali kepada agamamu, setelah Allah melepaskan kami darinya (dari agama yang sesat). Dan tidaklah pantas kami kembali kepadanya, kecuali jika Allah, Tuhan kami menghendaki. Pengetahuan Tuhan kami meliputi segala sesuatu. Hanya kepada Allah kami bertawakal. Ya Tuhan kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil). Dan Engkaulah pemberi keputusan yang terbaik. (ayat 89)
Dan pemuka-pemuka dari kaumnya (Syu’aib) yang kafir berkata (kepada sesamanya), Sesungguhnya jika kamu mengikuti Syuaib , tentu kamu menjadi orang-orang yang rugi. (ayat 90)
Tafsir ringkas:
1. Pada ayat ini Allah SWT memaparkan secebis dari kisah perjuangan Nabi Syu’aib AS ketika berhadapan dengan pembesar-pembesar kaumnya. Mereka enggan beriman dan mentaati apa yang diperintahkan dan dilarang oleh Nabi Syu’aib, seperti perintah menyembah Allah, mengurangkan timbangan, tidak berperangai angkuh, sombong dan sebagainya.
2. Mereka bukan sahaja menentang dakwahnya malah mengancam untuk mengusir Nabi Syu’aib AS dan kaumnya yang beriman atau diberi pilihan sama ada meninggalkan kampung halaman atau kembali kepada agama mereka.
3. Nabi Syu’aib AS dengan tegas menjawab tidak akan kembali kepada agama mereka setelah diberi hidayah oleh Allah yang menyelamatkan mereka dari agama yang batil (sesat).
4. Dengan penegasan Nabi Syuaib AS menzahirkan kepada kita bahawa Allah SWT telah menyelamatkan baginda dan para pengikutnya dari kemusyrikan kerana anutan sesat yang menjadi pegangan kaumnya itu.
5. Walaupun pelbagai dugaan dan ancaman yang dihadapi oleh Nabi Syuaib AS, baginda tetap meneruskan dakwahnya, sentiasa memberi nasihat, malah mendoakan kaumnya agar dibukakan pintu hidayah buat mereka.
Pengajaran:
1. Dalam perjuangan dan dakwah kepada Allah, orang-orang yang beriman wajib mempunyai dasar perjuangan yang jelas, memiliki prinsip yang teguh, tidak mudah putus asa dan tidak takut dengan ancaman para penentang malah sering mendoakan masyarakatnya agar diberikan hidayah.
2. Kita hendaklah bersyukur dengan nikmat iman dan Islam, dan mestilah mengamalkan ajaran Islam dengan yakin dan adil (iaitu dengan betul).
3. Sebagai seorang Islam, kita mestilah bertawakal kepada Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan supaya mendapat keredhaan dari Allah. Hayatilah perjuangan para Nabi yang begitu tinggi pergantungan mereka kepada Allah SWT.
Rujukan: Tafsir Al-Munir
Prof. Dr. Wahbah az-ZuhailiDisusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
9 Ramadhan 1438 /4 Jun 2017