Home Berita PAS Melaka

Tazkirah pagi Jumaat : Waktu ada peluang kamu buat apa?

2789
SHARE

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.
بسم الله الرحمن الرحيم.

As-Sajdah 32:12

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Al-Munafiqun 63:10

وَأَنفِقُوا۟ مِن مَّا رَزَقْنَٰكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَآ أَخَّرْتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّٰلِحِينَ

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ” Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh “.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Para pembaca yang dirahmati Allah. Apa yang Allah firmankan adalah benar dan pasti akan terjadi. Ayat al Quran di atas menceritakan satu golongan yang meminta pada Allah agar dapat dikembalikan ke dunia. Satu golongan lagi yang meminta Allah agar dilewatkan sedikit ajal mereka. Kedua-dua golongan ini meminta dan memohon kepada Allah kerana ingin melakukan amal soleh. Tetapi apa yang dipohon dan diminta oleh kedua-dua golongan di atas sudah tiada gunanya lagi.

Kisah di atas Allah ceritakan lebih daripada 1400 tahun yang lepas sebagai peringatan dan amaran supaya kita tidak tergolong dalam golongan di atas. Golongan yang di beri masa dan mempunyai peluang ketika berada di dunia untuk melakukan amal soleh tetapi mensia-siakan waktu yang diberi oleh Allah yang akhirnya membawa kepada penyesalan yang tiada gunanya lagi.

Ramai manusia merasakan umurnya masih panjang dan mungkin yang membaca tulisan ini pun merasakan umurnya masih panjang. Walaupun kita mungkin menafikan bahawa kita mengatakan umur kita masih panjang tetapi perbuatan kita menunjukkan sebegitu kerana jika kita merasakan umur kita sudah tidak lama adakah kita akan berlengah dalam melakukan amal soleh? Tepuk dada tanyalah iman.

Al-‘Asr 103:1

وَٱلْعَصْرِ

Demi Masa!

Al-‘Asr 103:2

إِنَّ ٱلْإِنسَٰنَ لَفِى خُسْرٍ

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

Al-‘Asr 103:3

إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Allah bersumpah dengan masa kemudian disambung selepas itu dengan Allah memberitahu manusia itu berada dalam kerugian. Kenapa Allah bersumpah dengan masa dan disambung dengan manusia itu dalam kerugian? Sebab manusia itu tidak tahu berapa banyak masa yang dia ada lagi dan manusia itu tidak sedar dirinya sudah berbau tanah dan semakin hari semakin kuat bau tanah itu, tetapi masih lagi alpa dan lalai dalam persiapan untuk dunia yang kekal.

Jalan bagaimanakah untuk kita selamat daripada menjadi golongan yang rugi? Allah telah beritahu dalam ayat terakhir surah al ‘Asr di atas, jalan keluar bagi mereka yang tidak mahu tergolong dalam golongan yang rugi.

INGAT!!! ENGKAU DAN AKU TIDAK TAHU BERAPAKAH BAKI MASA UMUR YANG TINGGAL. JANGAN APABILA SAMPAI MASANYA ENGKAU DAN AKU MEMINTA DAN MEMOHON KEPADA ALLAH UNTUK DIKEMBALIKAN KE DUNIA ATAU MEMINTA DILEWATKAN SEDIKIT AJAL KERANA INGIN MELAKUKAN AMAL SOLEH.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita semua dan memberikan kita hidayah untuk bersegera dalam melakukan amal soleh. Apa yang baik itu datangnya daripada Allah apa yang lemah dan kurang itu saya memohon ampun kepada Allah.

Wallahu ‘alam.

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

#KitaJagaKita
#DemiIslam

USTAZ MOHD. SHAFIQ ISMAIL
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Tangga Batu



Wartawan Rakyat Melaka (WARM)