Home Berita PAS Melaka

Rasa ‘cemburu’ dorong diri berdisiplin menuntut ilmu –TG Abu Yamin

854
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

HANG TUAH JAYA,15 Okt : Sifat ‘cemburu’ ataupun ‘ghibtoh‘ (غبطة) adalah antara disiplin utama untuk menuntut ilmu di institusi pondok.

Begitu kenyataan Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia Melaka, Tuan Guru Abu Yamin Ramle ketika mengulas lanjut mengenai penerapan adab dan disiplin yang dibangunkan dalam institusi pondok menerusi ‘Forum Kalam Murabbi – Peranan Institusi Pondok Dalam Mempertahankan Akidah Ummah’ yang berlangsung malam tadi.

Dalam forum yang disiarkan secara ‘live’ di laman Facebook PAS Negeri Melaka itu, beliau yang juga merupakan alumni Pondok Pasir Tumboh Kelantan, turut berkongsi pengalaman lebih 10 tahun hidup ‘memondok‘ di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan

Antara perkara menarik yang dikongsikan beliau ialah tentang penerapan adab dan disiplin belajar yang datang daripada suasana kesibukan kehidupan pembelajaran di pondok itu sendiri.

“Sehingga satu-satu masa terdapat empat sehingga lima kelas pengajian yang berlangsung,” jelasnya.

Beliau berkata kehidupan di institusi pondok memperlihatkan kehidupan para pelajar yang sentiasa sibuk mengendong buku untuk menghadiri siri kelas-kelas pengajian yang diadakan di dalamnya.

Menurut beliau, suasana inilah yang mendorong para penuntut ilmu untuk tidak betah duduk diam dan sentiasa merasa ‘cemburu’ dengan kesibukan penuntut-penuntut lain menuntut ilmu.

Ulasnya lagi, kehidupan seharian di institusi pondok sarat dengan kombinasi antara kelas ‘umumi‘ dan ‘nizami‘ akan mendorong para penuntut sentiasa berkejaran mengisi kehidupan seharian dengan ilmu.

Para penuntut pondok tidak semata-mata belajar bahkan turut dibimbing untuk mengajar di madrasah-madrasah berdekatan pondok sebagai latihan awal sebelum mereka terjun ke dalam masyarakat untuk berbakti.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)