Home Artikel PAS Selangor

Talkin Untuk Ahli PAS – Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

1078
SHARE

Oleh : Ustaz Shafie Bin Ngah

Wahai ahli-ahli PAS,

  1. Jika datang kepadamu orang-orang tertentu bertanyakan kepada engkau kenapa kamu masuk PAS maka janganlah engkau takut dan bimbang. Engkau Jawablah dengan lidah yang fasih dan jiwa yang tenang bahawa;

Aku masuk PAS untuk membuktikan hati dan jiwa aku mahu bersama sebuah perjuangan. Perjuangan menegakkan Islam berlandaskan as-sunnah dan al-Quran. Aku bukan sekadar cakap sahaja tanpa dibenarkan dengan tindakan. Sebab ramai orang di luar sana bercakap dan berkata-kata mahu melihat Islam dinobatkan, mahu Islam dimartabatkan, tapi masih tidak bersama dengan mana-mana persatuan Islam, persatuan yang bergelumang dengan politik negara demi mencapai tujuan memerintah secara Islam. Justeru, apabila parti Islam menang, mereka akan berkata “aku sokong parti Islam” tetapi apabila parti itu kecundang, mereka berkata “aku tak ada kena mengena dengan parti Islam”. Yang aku faham golongan itu boleh disebut oportunis, sesumpah atau lalang. Aku tak mahu jadi begitu sebab itu aku masuk PAS walaupun aku tahu sumbangan aku sangat kecil dan tidak sehebat para pimpinan yang tegar berjuang.

Wahai ahli-ahli PAS,

  1. Jika datang kepadamu orang-orang tertentu bertanyakan kepada engkau kenapa kamu mengikut para pemimpin PAS, maka janganlah engkau takut dan janganlah engkau bimbang. Jawablah dengan lidah yang fasih dan jiwa yang tenang bahawa;

Aku mengikut pemimpin PAS bukan semata-mata mereka pemimpin tetapi aku mengikut mereka kerana mereka berpegang kepada as-sunnah dan al-Quran. Demikian aku diajar di dalam usrah dan pertemuan-pertemuan. Dan lagi aku yakin bahawa aku akan mati dan semua para pemimpin juga akan mati mengadap Tuhan. Kelak di padang Mahsyar nanti semua orang akan mencari-cari orang yang semasa di dunia dahulu siapa yang mereka jadikan ikutan. Insya Allah mereka yang aku ikut itu selagi mereka perpegang kepada as-sunnah dan al-Quran akan membantu aku menyampaikan kepada Muhammad Rasul pilihan. Aku memilih para ulama’ sebagai ikutan kerana aku diajar oleh ustaz dan guru bahawa para ulama’ adalah yang paling dekat dengan Muhammad Rasul pilihan. Ulama bagi Nabi-Nabi adalah warisan. Jadi insya Allah aku yakin aku tak salah membuat pilihan.

Wahai ahli-ahli PAS,

  1. Jika datang kepadamu orang-orang tertentu bertanyakan kepada engkau apa kena mengena politik dengan padang Mahsyar dan Hari Kemudian. Dunia hal dunia dan Akhirat hal akhirat. Dah tua nanti bertaubatlah, banyakkan amal maka janganlah engkau takut dan janganlah engkau bimbang. Jawablah dengan lidah yang fasih dan jiwa yang tenang bahawa;

Pertama aku tak tahu bila aku akan mati sama seperti kamu. Kamu juga tidak tahu bila kamu akan mati. Tidak sedikit mereka yang mati mengejut dan itu menakutkan aku. Aku takut!

Kedua, tidak sedikit mereka yang sudah tua atau lanjut usia masih tidak sedar diri dan masih berperangai seperti zaman muda mereka. Hidup tak hirau agama dan hidup terus-terusan mengejar dunia. Aku takut!

Ketiga, aku bukan insan cemerlang. Ilmu tak banyak amal pun kurang. Aku berdoa mudah-mudahan kebersamaan aku dengan parti Islam ini aku mendapat nasihat, tunjuk ajar dan panduan dari para ulama’ dan agamawan, kerana parti ini meletak tinggi para ulama’ dan agamawan.

Aku juga berdoa mudah-mudahan kebersamaan aku dengan parti Islam ini menjadi asbab supaya aku dikasihi Allah Tuhan sekelian alam. Tidak mengapa jika ramai yang mencemuh para ulama’ aku berdoa supaya aku tetap bersama para ulama’.

Keempat, aku diajar tidak memisahkan urusan dunia dan Akhirat dalam menjalani kehidupan. Aku benar-benar yakin urusan dunia dan urusan Akhirat itu berkait-kaitan. Guru-guruku sering berpesan dunia ini tempat bekerja dan beramal, Akhirat bukan. Dan setiap kerja dan amal di dunia ini tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja tapi akan ada hisab dan perhitungan. Sama ada kerja dan amal dalam berusaha dan mencari harta atau dalam berkomunikasi sesama keluarga atau dalam kehidupan bersama masyarakat dan jiran tetangga atau dalam urusan politik dan memilih pemimpin negara – semuanya ada nilai dosa dan pahala. Yang baik akan Allah balas baik dan yang tak baik akan Allah balas tak baik.

Kelima, aku tahu dan yakin bahawa di dunia ini kita tak akan dapat segala-galanya. Berjuang, ada masa kalah ada masa menang. Itu dalam pemerhatian manusia tidak mengapa. Pemerhatian Allah yang aku harapkan. Akhirat adalah tempat paling adil, seadil-adilnya.

Wahai ahli-ahli PAS,

Biar orang yang datang bertanya itu pulang. Pulang dengan fikiran. Mereka mahu ikut atau mahu bangkang terpulang. Sekurang-kurangnya kamu telah sampaikan. Kamu bukan ikut PAS sebarang-barang.

Ustaz Shafie Bin Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor