Oleh : Zul Sham Mahat
MASJID TANAH, 1 Okt: Ketiadaan lintasan zebra di selekoh jalan raya di hadapan Masjid Aminin Sungai Tuang menimbulkan kerisauan jemaah terhadap bahaya kemungkinan berlakunya kemalangan.
Ini ditambah dengan kejadian yang berlaku ke atas mantan sidang Kampung Sungai Tuang, Haji Zakaria Yahya, 67, yang nyaris dilanggar sebuah motosikal ketika beliau sedang melintas jalan sejurus selesai menunaikan solat Subuh pagi semalam.
Noja Masjid Aminin Sungai Tuang, Md Ali Kunjahamoo, 55, berkata, sudah tiba masanya pihak berwajib membuat lintasan zebra sebagai kemudahan jemaah yang berjalan kaki untuk melintasi jalan tersebut.
“Kalau ada lintasan zebra tu pemandu atau pembonceng akan lebih berhati-hati. Ini mereka laju saja memandu depan masjid ni! Bahaya!” ujar Ali.
Sementara itu seorang lagi ahli kariah, Azimi Mohd Yusof, 49, berkata, penduduk kampung yang berniaga berhampiran turut bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Memang saya sendiri banyak kali nampak pemandu kereta, motor (motosikal) memang sangat laju lalu depan masjid ni. Kemalangan pun dah banyak terjadi. Minta tolong pihak berkuasa ambil perhatian.” ujar beliau.
Tinjauan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) juga mendapati laluan tersebut memang sibuk juga dan perlu kepada lintasan zebra memandangkan Masjid Aminin ini sentiasa menjadi tumpuan orang luar terutama pada hujung minggu.