Home Berita PAS Melaka

Rencana: Mendengar bukan dengan telinga semata

994
SHARE

Oleh : Abu Harith

MENDENGAR merupakan antara nikmat awal yang diberi Allah SWT kepada kita. Fungsinya cukup besar, saluran informasi pertama sebelum mata boleh menangkap segala maklumat dengan jelas.

Menelusuri kejadian kita, Allah SWT telah menjadikan satu mulut dan dua telinga. Hikmahnya sangat besar yang membuktikan bahawa kita disuruh untuk lebihkan mendengar daripada bercakap. Sentiasalah berhati-hati tika menuturkan kata-kata.

Kemahiran mendengar dengan aktif bukanlah mendengar dan mendapatkan maklumat melalui telinga semata. Terdapat saluran lain yang perlu digunakan bagi menyatakan itu adalah mendengar dengan aktif.

Mendengar dengan mata

Sewaktu mendengar, perhatian seharusnya difokuskan kepada si pencerita. Fokus ini akan menggalakkan seseorang untuk terus selesa berkongsi. Titik fokus tidak perlu tepat kepada mata sehingga menimbulkan suasana tidak selesa terutama kepada jantina berlainan, tetapi boleh pada kawasan dahi atau antara dua kening.

Mendengar dengan gerakan badan

Mesej disampaikan bukan melalui verbal (kata-kata) sahaja. Bahkan mesej dalam bentuk non-verbal (gerakan badan) lebih kuat, jujur dan berpengaruh. Kekongruenan (selaras) antara verbal dan non-verbal sangat penting. Jangan abaikan gerakan badan yang berulang ketika mendengar. Ada sesuatu yang ingin disampaikan sebenarnya.

Mendengar dengan hati

Istilah tepat adalah empati. Cuba mendengar atau memahami orang lain dengan meletakkan diri kita di tempat atau situasi orang lain. Jika memahami dari sudut kita mungkin kita hanya mampu lahirkan rasa simpati. Empati satu senjata yang sangat ampuh untuk membuatkan orang lain rasa sangat difahami.

Cubalah!

Penulis adalah seorang Kaunselor Berdaftar.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)