Kemenangan Di Sisi Allah Motivasi Perjuangan
Oleh: Nadiah Saari
KUALA LUMPUR : Motivasi dalam melayari bahtera perjuangan yang jauh dan panjang ini sememangnya diperlukan sebagai bekalan bagi setiap anggota perjuangan.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, kemenangan hakiki yang didambakan oleh seorang anggota perjuangan adalah apabila amalan dan perjuangan yang dilakukan sepanjang hidupnya diterima di sisi Allah SWT dan dikurniakan rahmat serta keredaan-Nya.
“Sememangnya kita menyertai pilihan raya adalah untuk menang kerusi, dan akhirnya dapat memerintah sebagai antara anak tangga menuju kemenangan di sisi Allah.
“Namun kemenangan di sisi Allah adalah bekalan kekuatan dan motivasi perjuangan kita sejak dari dulu sampai bila-bila, inshaAllah,” ujarnya lagi kepada para hadirin yang hadir ke Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-60 yang diadakan di Hotel Primiera, di sini semalam.
Beliau juga memberi peringatan yang tegas bahawa pangkat, kedudukan, gelaran, harta benda, kerusi dan jawatan yang diperoleh adalah sekadar pinjaman untuk menguji, sama ada bersyukur ataupun kufur dengan nikmat Allah SWT.
Tambahnya lagi, jawatan yang diperoleh hasil dari kemenangan perlu digunakan bagi mengangkat agama, membela rakyat dan menjulang maruah negara sebagai tanda kesyukuran.
Penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan diri dan kelompok parti hanya akan menyebabkan derita, menjadi hina dan akan dijatuhkan kembali oleh Allah di dunia dan akhirat.