Malaysia dikejutkan dengan berita kesedihan dan tragis menyayat hati apabila Kapten Pegawai Laut, mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Awam (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah meninggal dunia akibat dipukul dan dibuli dengan kejam oleh rakan seuniversitinya.
Kes buli yang menyayat hati sehingga meragut nyawa insan tidak berdosa ini sangat mendukacitakan kita semua. Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), turut sedih dengan perkhabaran ini.
Ibu mana yang tidak terguris mengetahui anaknya didera sehingga maut. Begitulah kami DMPM merasai kesedihan yang dialami. Kami dengan setulus hati mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa.
Kami berharap tindakan tegas diambil kepada mereka yang terlibat. Berdasarkan insiden-insiden penderaan yang semakin membimbangkan saban hari, sudah tiba masanya pihak kerajaan mengambil langkah serius menangani isu ini.
Usah dibiarkan ia terus berleluasa sehingga menyeksa insan yang tidak bersalah. Ikutilah jalan penyelesaian yang dianjurkan dalam Islam. Hayatilah didikan Islam yang boleh diaplikasikan kepada semua golongan. Nescaya keindahan dan kesyumulannya mampu mewajahkan solusi terbaik.
“Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, jika ada orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia”. Surah Fushilat: 34.
Di bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita tingkatkan amalan dan berazam untuk menjadi muslim yang terbaik, iaitu bukan sahaja menahan lapar dan dahaga bahkan menghayati Ramadhan dengan penuh penghayatan.
Moga-moga, kemuliaan bulan suci terus terjaga. Kami mendoakan kebaikan mengiringi kita semua. “Ya Allah tidak ada kemudahan, melainkan yang Engkau jadikan mudah. Dan Engkau jadikan kesedihan menjadi mudah jika Engkau kehendaki”. Hadis Riwayat Abu Dawud.
Ramadhan Kareem.
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
KETUA,
Dewan Muslimat PAS Malaysia,
05 Jun 2017 | 10 Ramadhan 1438H
{jathumbnail off}