Home Berita PAS Melaka

Tinta Ketua Penerangan Tangga Batu : Tangga Batu sejahtera | Kesan gejala sosial ke atas negara

801
SHARE

 

BEKAS Mufti Saudi, Syaikh Bin Baz rahimahullah, ketika membincangkan permasalahan berkaitan masalah sosial dan kelemahan kaum muslimin, dengan memberikan perhatian tentang betapa pentingnya meneliti masalah dengan tepat dan memberikan solusi yang sesuai dengannya, beliau berkata:

فإن وصف الداء ثم الدواء من أعظم أسباب الشفاء والعافية

“Sesungguhnya menggambarkan penyakit dan ubatnya (dengan tepat), hal itu merupakan sebab kesembuhan dan kesihatan yang terbesar”

Beliau juga mengatakan,

وترجع أسباب الضعف والتأخر وتسليط الأعداء إلى سبب نشأت عنه أسباب كثيرة وعامل واحد نشأت عنه عوامل كثيرة، وهذا السبب الواحد والعامل الواحد هو: الجهل؛ الجهل بالله وبدينه وبالعواقب التي استولت على الأكثرية، فصار العلم قليلاً والجهل غالبا

“Dan sebab-sebab masalah sosial, kelemahan dan kemunduran sehingga berkuasanya musuh (atas kaum muslimin) sebenarnya kembali kepada satu sebab (sahaja), yang melaluinya lahirlah sebab-sebab yang banyak, permulaan dari satu faktor pengaruh, lalu melahirkan faktor-faktor pengaruh lainnya yang banyak. Adapun sebab dan faktor pengaruh yang satu itu adalah kebodohan, iaitu tidak mengenal Allah dan agama-Nya dengan baik! Dan akibat buruknya menimpa majoriti manusia, maka (ketika itu) ilmu (agama Islam) menjadi sedikit dan kebodohan sangat mendominasi”

وعن هذا الجهل نشأت أسباب وعوامل منها حب الدنيا وكراهية الموت، ومنها إضاعة الصلوات واتباع الشهوات، ومنها عدم الإعداد للعدو

“Kebodohan (terhadap Allah dan agama-Nya) inilah, terlahir berbagai-bagai sebab dan faktor pengaruh yang buruk berupa cinta dunia (yang berlebihan), membenci kematian, meringankan ibadah Solat dan mengikuti syahwat (dalam urusan Agama mahupun muamalah), juga tidak mampu mempersiapkan diri menghadapi musuh.”

Sampai perkataan beliau,

ونشأ عن ذلك أيضا التفرق والاختلاف وعدم جمع الكلمة وعدم الاتحاد وعدم التعاون. فعن هذه الأسباب الخطيرة وثمراتها وموجباتها حصل ما حصل من الضعف أمام العدو والتأخر في كل شيء إلا ما شاء الله

“Dan juga demikian, terlahirlah dari satu sebab itu (kebodohan terhadap Allah dan Agama Nya) perpecahan dan perselisihan, tidak adanya kesatuan ummah dan tak pula saling tolong-menolong atas nama kebaikan mahupun kebajikan.

Dan inilah punca yang menjadikan ummah atau masyarakat menjadi parah dengan pelbagai kekecohan serta keruntuhan akhlak yang sangat merbahaya, maka berlaku suatu bentuk kelemahan dan kedangkalan serta kemunduran dari pelbagai aspek bidang kecuali bidang yang Allah kehendaki (tidak mengalami kelemahan dan kemunduran)”

Oleh yang demikian implikasi utama terhadap negara jika gejala sosial tidak ditangani segera akan menyebabkan negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan. Hal ini akan menjadikan kerancakan pembangunan negara akan terbantut dan keadaan sosioekonomi negara menjadi lembab kerana wujudnya gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang tinggi di kalangan masyarakat.

Perkara ini pasti menjadikan kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan kelemahan dan kemunduran.

Akibat daripada gejala sosial ini sekaligus meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah.

Sekaligus anasir-anasir luar akan meresap masuk ke dalam negara sekiranya generasi muda pada hari ini tidak tahu menjaga akhlak mereka. Dan, kesan paling utama ialah remaja pada hari ini terutamanya akhlak remaja Islam hancur dan rosak, maka pandangan bangsa lain terhadap agama yang kita anuti pada hari ini akan menjadi sangat buruk pada perspektif daripada bangsa lain.

Oleh yang demikian ‘pembangunan sumber manusia’ dengan memberdayakan insan menurut perspektif Islam memerlukan perubahan yang menyeluruh dengan penuh bijaksana. Malah dalam Islam itu sendiri amat mementingkan sesuatu perkara dilakukan secara hikmah.

Ini jelas dinyatakan oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Serulah kepada jalan Tuhanmu (Muhammad) dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalannya. Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah atau petunjuk.”

Surah an-Nahl ayat 125

Sayugia tugas kita sebagai amilin Islam adalah untuk menyempurnakan seruan Islam dengan hujah dan Ilmu bukan sekadar menghayunkan tangan ke langit sambil melaungkan laungan takbir, tetapi sebahagian kita turut menyemarakkan perpecahan, menyuburkan fitnah, kekal dengan perbuatan maksiat dan yang lebih sadis sebahagian dari pembawa panji-panji ini tidak memahami tanggungjawab sebenar seruan Islam dengan turut meninggalkan amalan soleh serta jelas bermaksiat kepada Allah Azza Wa Jalla.

Wallahu’alam.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

#DemiIslam
#KitaJagaKita

MOHAMMED SAUFEE OTHMAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Tangga Batu


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)