SIRI: 9
10 RAMADAN 1441
3 MEI 2020
Assalamualaikum.wbrt.
Allahumma Solli ‘ala Muhammad Wa ‘ala Aalihi Muhammad S.A.W :
Tazkirah Ramadan : –
FADILAT ORANG BERPUASA DAN DOA MUSTAJAB
Sesungguhnya fadilat bagi orang yang berpuasa akan mendapat beberapa ganjaran yang tidak ternilainya.
Antaranya ialah:-
(1) Doa mustajab(diperkenankan) Sebagaimana hadis dari Ibn Umar Radiyallahu anhuma, bahawasanya Rasulullah S.A.W.telah bersabda:
ان للصاءم عند فطرة دعوة لا ترد
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, mempunyai doa mustajab yang pasti tidak ditolak” – (Riwayat Imam Ibn Majah dan Imam AlHakim dalam Al-Mustadrak).
Kita sedia maklum, di kala ini seluruh dunia dilanda dengan musibah wabak covid 19 termasuk negara kita Malaysia.
Sesungguhnya ujian musibah yang Allah Taala turunkan ini banyak hikmah di sebaliknya samada yang tersurat dan yang tersirat. Kita sebagai hamba yang lemah dan daif ini semestinya bagi kita semua mendekati diri kepada Allah Taala dengan kita banyakkan amal ibadat dan berdoa antara langkah-langkah mendekati Allah Taala ini iaitu antaranya:-
(1) Solat.
(2) Zikir.
(3) Doa.
Apakah itu rahsia aura doa itu? Firman Allah Taala di dalam Al-Quranulkarim : وقال ربكم اد عوني استجب لكم.
Ertinya:” Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepadaku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu ” – ( Surah Ghafir ayat 60 ).
Sesungguhnya doa adalah ibadat. Dengan kekerapan berdoa, seseorang itu akan menjadi hampir dengan Allah S.W.T. Banyakkanlah kita berdoa supaya diri menjadi dekat dengan Allah S.W.T.
Para Alim Ulamak menyatakan bahawa terdapat masa dan waktu yang baik kita berdoa. Persoalannya, bilakah masa yang baik kita berdoa?
Antara masa yang baik kita berdoa ialah:-
(1) Bulan Ramadhan.
(2) Hari Wukuf di Arafah.
(3) Hari Jumaat dan malamnya.
(4) Sepertiga malam.
Rasulullah S.A.W. telah bersabda:- اي الدعاء اسمع ؟ قال: جوف الليل الاخر ، ودبر الصلوات المكتوبات .- رواه الامام الترمذي
Ertinya :” Ditanya doa , waktu apakah yang lebih didengar oleh Allah S.W.T. ( lebih mustajab ), Jawab Nabi : Di tengah malam dan sesudah solat fardhu.” – ( HR: Al-Imam Tirmizi ).
(5) Waktu Sahur.(
6) Di antara dua khutbah solat Jumaat.
(7) Semasa dalam Musafir( perjalanan )
(8) Selepas solat fardhu.
(9) Semasa sujud dalam solat. Sabda Rasulullah S.A.W.: – اقرب ما يكون العبد من ربه وهو ساجد ، فاكثروا الدعاء – رواه الامام مسلم
Ertinya: ” Sedekat-dekat hamba. kepada Allah S.W.T. ketika ia bersujud kepada Allah S.W.T, maka banyak-banyaklah berdoa ketika di dalam sujud itu.” – ( HR: Al-Imam Muslim ) .-
(10) Ketika hujan turun.
(11) Semasa mengadap kaabah.
(12) Semasa berjihad fi sabilillah – di jalan Allah S.W.T.
(13) Antara azan dan iqamat.
(14) Ketika khatam membaca.
Benarlah Firman Allah S.W.T. lagi di dalam Al-Quranul Karim yang bermaksud: “Dan apabila hambaku meminta daripadaKu, ketahuilah bahawa Aku ini dekat untuk memperkenankan doa orang yang berdoa. Maka hendaklah kamu menyahut (seruanKu) dan beriman kepadaKu, mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan”
– Surah Al-Baqarah ayat-186.
Sebagaimana Al-Imam Fakhruddin Al-Razi menyatakan di dalam kitabnya” Mafatih Al-Ghaib” Ayat ini menunjukkan besarnya peranan doa dari beberapa segi:-
(1) Seolah-olah Allah S.W.T. menyatakan: Hambaku, engkau memerlukan kepada wasitah(jalan tengah) ketika selain daripada waktu berdoa.Adapun ketika berdoa maka tiada pendinding antara aku dan kamu.
(2) FirmanNya yang bermaksud: “Apabila hambaku bertanya kepadamu” – menunjukkan hamba itu adalah milikNya dan FirmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku adalah dekat” – menunjukkan bahawa Tuhan itu adalah untuk hamba.
(3) Tidak disebut bahawa hamba itu dekat kepada Tuhan tetapi Tuhan itu dekat dengan hamba.
Buat akhirnya , saya mengingati diri sendiri dan sahabat semua rebutlah peluang keemasan di dalam bulan ramadhan Almubarak yang mulia ini untuk kita banyakkanlah berdoa dengan yakin dan penuh harapan semoga diri kita semua dihindarkan dari penyakit wabak Covid 19 ini dan penyakit-penyakit yang lain serta doa kita dimaqbulkan oleh Allah S.W.T. Insya-Allah.
Siiru ‘ala barakatillah…
رمضان كريم…الله اكرم ..صوما مقبولا..وافطارا شهيا..والله اعلم
Salam Ukhuwwah Islamiyyah :-